POLITIK

PRK DUN Balakong catat peratusan undi terendah dalam sejarah PRK

08/09/2018 11:10 PM

PETALING JAYA, 8 Sept (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri  (DUN) Balakong mencatatkan peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah PRK negara setakat ini iaitu hanya 43 peratus, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood.

Beliau berkata bagi PRK DUN Seri Setia pula peratusan keluar mengundi ialah  44.1 peratus.

"Sebelum ini, peratusan keluar mengundi paling rendah dicatat ialah ketika PRK DUN Penanti di Pulau Pinang (pada 31 Mei 2009) iaitu sebanyak 46 peratus.

"Pada dua PRK hari ini memperlihatkan DUN Balakong mencatatkan peratusan paling rendah dalam sejarah PRK," katanya kepada pemberita di pusat penjumlahan undi di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, malam ini.

Katanya walaupun SPR giat membuat hebahan meminta pengundi keluar mengundi, cara itu dilihat tidak berkesan.

"Sebenarnya kita pilih tarikh mengundi hari ini sebab kita mahu pengundi yang duduk di luar kawasan DUN Seri Setia dan Balakong pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi.

"Ada empat hari cuti mingguan dan awam (Sabtu sehingga Selasa) yang mana sepatutnya pengundi boleh luangkan masa hari ini untuk mengundi sebelum mereka bercuti ke mana-mana... tetapi jumlah yang keluar mengundi masih rendah," katanya.

Othman berkata sikap pengundi sendiri yang tidak minat untuk keluar mengundi selain berpendapat undi mereka tidak akan mengubah senario politik negara, mungkin antara faktor peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua DUN itu rendah.

Bagaimanapun pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kedua-dua pilihan raya kecil itu kerana tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

PRK DUN Seri Setia dan PRK DUN Balakong masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar menentang calon PAS Dr Halimah Ali di Seri Setia dan  calon PH Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong.

Dalam keputusan PRK DUN Seri Setia, Halimey memperoleh 13,725 undi sementara calon PAS Dr Halimah meraih 9,698 undi. Di Balakong pula, calon PH Wong Siew Ki menerima 22,508 undi menewaskan calon MCA Tan Chee Teong yang hanya mendapat 3,975 undi.

PRK DUN Seri Setia diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus manakala PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan