EKONOMI

Kejatuhan Ringgit disebabkan anomali luaran-- ahli ekonomi

05/09/2018 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Penyusutan ringgit kepada RM4.1460 ketika ditutup hari ini disebabkan terutama oleh anomali luaran dan bukan faktor domestik, kata pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi mata wang tempatan yang semakin merosot itu berkait rapat dengan kejadian yang berlaku dalam ekonomi luar.

"Kita telah melihat Afrika Selatan jatuh ke dalam kemelesetan, Bank Pusat Argentina menaikkan kadar faedah asasnya kepada 60 peratus minggu lalu dan ketegangan perdagangan yang dicetuskan AS.

"Semua ini menjejaskan keyakinan pasaran dan ini bermakna permintaan bagi mata wang selamat seperti dolar dan yen akan meningkat," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Afzanizam berkata, ​​​​​​daya tarikan mata wang selamat akan melemahkan mata wang negara baru muncul, termasuk ringgit.

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, satu kemungkinan mengapa ringgit merosot berbanding dolar US adalah pertumbuhan eksport Malaysia yang lebih perlahan ke Amerika Syarikat tahun ini.

"Pertumbuhan yang lebih perlahan itu disebabkan kenaikan tarif oleh AS sejak awal tahun ini dan ada kemungkina ringgit akan jatuh lagi kepada RM4.20 bagi setiap dolar pada akhir tahun," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan