ALOR SETAR, 23 Ogos (Bernama) – Kerajaan negeri Kedah bercadang memberikan pelepasan kepada lot-lot hartanah bumiputera yang dibina sebelum tahun 2017 bagi mengatasi masalah lebih RM400 juta lot berkenaan yang tidak terjual sejak 10 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, pada masa ini kira-kira 1,000 unit rumah kediaman, rumah kedai dan bangunan industri tidak terjual dan menyebabkan modal pemaju perumahan terbeku sejak sekian lama selain meningkatkan kos penyelenggaraan dan pembiayaan.
“Kerajaan baru bercadang membentuk satu jawatankuasa khas untuk menguruskan masalah tersebut bagi mempertimbangkan pelepasan lot-lot tersebut yang telah dibina dan menerima sijil layak menduduki (CF) atau sijil CCC pada atau sebelum 31 Dis 2016.
“Levi akan dikenakan dalam pelepasan ini dan hasil levi tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung amanah rumah harapan. Tabung ini akan digunakan untuk membantu pembeli rumah yang kurang berkemampuan,” katanya selepas pelancaran Expo Hartanah Malaysia (MAPEX) Kedah hari ini yang menawarkan 3,000 unit hartanah bernilai RM950 juta.
Bagaimanapun beliau menegaskan cadangan itu adalah hanya untuk hartanah berstatus pegangan bebas (freehold) yang kebiasaannya menetapkan kuota 30 hingga 50 peratus kepada pembeli bumiputera dan bukannya untuk projek di atas Tanah Rizab Melayu.
“Apabila pelepasan dibuat, ini bermakna semua kaum sama ada bumiputera atau bukan boleh membeli hartanah ini (rumah, rumah kedai dan bangunan industri),” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Kedah/Perlis Datuk Rick Cheng Wooi Seong berkata kebanyakan lot tidak terjual ini telah menjadi tempat berlakunya gejala sosial yang tidak senonoh, merosakkan pemandangan serta mengancam kebersihan kawasan persekitaran dan kesihatan komuniti di sekitarnya.
Antara daerah yang paling banyak lot tidak terjual ialah di Kota Setar, Kuala Muda dan Kubang Pasu dan beliau berkata antara faktor menyebabkan perkara itu termasuklah keupayaan dan kemampuan, kejiranan serta kurangnya minat membeli bangunan industri.
“Sebab itulah jika kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan ini, pemaju dapat gunakan wang modal yang terbeku itu untuk memulakan projek baru dan sekaligus merancakkan lagi industri perumahan di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan