POLITIK

Kerajaan PH perlukan lebih banyak masa untuk betulkan keadaan - Kit Siang

22/08/2018 05:37 PM

BALAKONG, 22 Ogos (Bernama) --  Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan lebih banyak masa untuk membetulkan begitu banyak amalan salah  yang telah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata  kerajaan baharu serius mahu menghapuskan salah guna kuasa, rasuah dan ketidaksamarataan selama 60 tahun tetapi ia tidak dapat dilakukan dalam “dua hari”.

"Bagi membolehkan Malaysia baharu menyaksikan perubahan sebenarnya, kami perlukan lebih banyak masa untuk melakukannya. Amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketidaksamarataan selama 60 tahun tidak dapat dibersihkan dalam 100 hari.

"Kami perlu membuktikan bahawa untuk jangka masa panjang, janji-janji kami akan ditunaikan. Dalam 100 hari, Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) telah digulingkan dan dituduh di mahkamah. Banyak ketua jabatan kerajaan yang rasuah telah disingkirkan," katanya ketika berceramah di Kampung Baru Balakong di sini, hari ini. 

Lim berkempen untuk  calon PH Wong Siew Ki bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong. 

​​​Kemudiannya, ketika berceramah di Pasar Pagi Batu 11, Cheras, Lim turut menggesa pengundi di DUN  Balakong supaya keluar beramai-ramai untuk mengundi dalam PRK itu pada 8 Sept.

Beliau berkata ini penting sebagai tanda menunjukkan sokongan padu berterusan kepada kerajaan PH susulan kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

"Kita nak semangat 9 Mei diteruskan. Bukan sahaja kita menang PRU, tetapi juga harapan untuk membina sebuah Malaysia baharu dapat diteruskan.

"Selain itu, ia juga sebagai satu penghargaan kepada mendiang Eddie (penyandang kerusi DUN Balakong) yang begitu tekun dan bertanggungjawab berkhidmat kepada penduduk Balakong," katanya.

Lebih 80 peratus daripada  62,219 pemilih berdaftar di DUN Balakong mengundi pada PRU14.

​​​​PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai.

Lim berkata jika peratusan keluar mengundi pada 8 Sept adalah rendah, situasi itu mungkin disabotaj oleh parti pembangkang khususnya UMNO yang menurutnya sedang membuat rancangan jahat untuk menggulingkan PH dalam dua tahun akan datang,

Dalam pada itu,  Lim berkata MCA tidak boleh menjadi ejen untuk memainkan peranan semak dan imbang selagi ia tidak melakukan pembaharuan dan berpisah dengan UMNO serta kontroversi dikaitkan dengan kerajaan terdahulu termasuk skandal 1MDB.

"Semak dan imbang penting tetapi MCA tidak sesuai bagi peranan itu selagi mereka tidak melakukan pembaharuan dan masih dikaitkan dengan 1MDB dan Najib," katanya mengulas manifesto calon MCA Tan Chee Teong yang mahu memainkan peranan semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan