DUNIA

Bihun sup Vietnam, Pho, dinobat sebagai makanan ke-20 terbaik di dunia

16/08/2018 01:07 PM

HANOI, 16 Ogos (Bernama) -- Mihun sup Vietnam, pho, telah dinobat sebagai makanan ke-20 terbaik di dunia oleh buku panduan perjalanan, Lonely Planet, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pho, yang boleh dinikmati di Sungai Hau, bersama-sama 500 sajian lain telah disenarai dalam Ultimate Eatlist: The World’s Top 500 Food Experiences buku panduan itu yang disiarkan pada Rabu.

Mendahului senarai ialah pintxo dari San Sebastian (Sepanyol) diikuti kari laksa dari Kuala Lumpur (Malaysia) dan sushi dari Tokyo.

Penyertaan dalam senarai itu telah dicalonkan oleh penulis, blogger serta petugas Lonely Planet dan jumlahnya dikecilkan kepada 500 oleh satu panel yang membabitkan cef serta penyampai TV Adam Liaw dan blogger makanan Leyla Kazim.

Syor cef terkemuka seperti Jose Andres, Elena Arzak dan Eric Ripert; bintang makanan televisyen Andrew Zimmern; hakim MasterChef BBC Monica Galetti; serta 15 lagi cef dan penulis makanan turut diambil kira, lapor CNN.

Semangkuk pho mengandungi bihun yang telah dicelur dan dimakan dengan sup ayam atau daging berperisa dengan bumbu berlainan. 

Ia disajikan dengan daging lembu atau ayam, bawang merah, cili dan limau secukup rasa.

Sup itu berasal dari Hanoi sebelum ia dibawa ke selatan di mana penduduk di sana mengubah suai hidangan tersebut mengikut cita rasa masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan