SUKAN

Pasukan ASTArs 1 ungguli Kejohanan Bola Jaring Alumni SBP Veteran 2018

11/08/2018 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Pasukan ASTArs 1 yang dianggotai alumni Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah (Semesta) muncul juara dalam Kejohanan Bola Jaring Alumni Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Veteran 2018 hari ini dan membawa pulang piala pusingan, medal dan wang tunai RM2,500.

Pasukan Puteri Il daripada Persatuan Alumni Sekolah Seri Puteri pula me­raih tempat kedua untuk menerima medal dan wang tunai RM1,500 manakala pasukan Srikandi Asputra daripada alumni SMS Tuanku Syed Putra terpaksa berpuas hati di tempat ketiga (medal dan wang tunai RM1,000).

Pasukan ASTArs 1 juga berbangga apabila dua pemainnya Noor Azlin Ismail dan Azlina Nasir masing-masing dinobatkan sebagai Pemain Terbaik dan Penjaring Terbaik. 

Dua pemain daripada pasukan Puteri II pula dipilih sebagai Penyerang Terbaik dan Pertahanan Terbaik iaitu Nor Suriana A. Rahim dan Haliza Mohamed. Pasukan ini juga memenangi Anugerah Fair Play. 

Pemain pertahanan daripada Kuatagh (MRSM Kuantan), Zuraina Abd Majid yang berusia 53 tahun dipilih sebagai pemenang Anugerah Mamma Mia manakala pasukan Gojesladies Asputra 96 juga daripada alumni SMS Tuanku Syed Putra memenangi Anugerah Outfit Pasukan Terbaik. 

Pengarah Kejohanan, Nurhaiza Mohamed Harith berkata kejohanan itu merupakan yang julung kalinya diadakan untuk sukan bola jaring terutamanya bagi kategori veteran dan ia akan diteruskan pada setiap tahun.

Katanya, tujuan penganjurannya adalah untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah melalui aktiviti sukan antara bekas pelajar SBP sekali gus mengembalikan nostalgia di zaman persekolahan. 

"Kita juga mahu memupuk semangat kesukanan untuk menjaga kesihatan terutamanya bagi wanita-wanita veteran ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, hari ini. 

Lebih 350 bekas pelajar SBP berumur 38 tahun dan ke atas mewakili 20 pasukan daripada alumni SBP di seluruh negara dan satu pasukan jemputan daripada Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Se-Malaysia (ANSARA) menyertai kejohanan ini yang merupakan anjuran Persatuan Alumni Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan, Pahang (alumni SHAH Pekan) dengan kerjasama Dunia Sukan. 

Antara alumni SBP yang menyertai kejohanan ini adalah daripada Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan, Sekolah Seri Puteri, Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Jaafar, Kolej Tunku Kursiah, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, SMS Teluk Intan, SMS Machang, SMS Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, SMS Johor, Semesta, SMS Sultan Abdul Halim Jitra, SMS Sultan Mohamad Jiwa, Sekolah Tun Fatimah dan Ansara Kuantan. 

Lebih istimewa, kejohanan sehari itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pemain bola jaring kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara semasa edisi Sukan SEA 2017 iaitu Nur Syafazliyana Mohd Ali, Pow Mei Foong, Nur Fariha Abdul Razak dan Norashikin Kamal Zaman. 

Acara penutup kejohanan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Dunia Sukan Aman Global, Shafizul Datuk Mohd Salleh. Hadir sama, Presiden Alumni SHAH Pekan, Datuk Remie Arman Musa.

Dalam pada itu, Remie Arman berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan kejohanan itu pada tahun  depan dengan penyertaan yang lebih besar. 

"Jika tahun ini kita buka untuk kategori veteran dan satu MRSM (Ansara) sahaja, mungkin selepas ini kita akan buka untuk kategori senior dan junior serta semua alumni SBP dan Ansara," katanya. 

Katanya, pihaknya akan sekali lagi menganjurkan Kejohanan Sukan Alumni SBP bagi sukan Hoki pada 15 Sept depan, yang akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan