SUKAN

Sekolah Sukan Malaysia Pahang terima kunjungan Mitsubishi Yowa S. C.

07/08/2018 05:22 PM

KUANTAN, 7 Ogos (Bernama) -- Sekolah Sukan Malaysia Pahang hari ini menerima kunjungan pasukan bola sepak Jepun, Mitsubishi Yowa S. C. bawah 14 tahun bagi mengeratkan hubungan dan mengadakan perlawanan persahabatan.

Pengetua sekolah berkenaan, Idrus Othman berkata kunjungan pasukan daripada negara matahari terbit itu adalah satu kelaziman dan ia sentiasa diadakan bagi mengeratkan hubungan.

"Kami pernah pergi ke Jepun dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Mitsubishi Yowa S. C. dan kini mereka pula datang ke Malaysia melakukan perkara sama.

"Pemain bawah 14 tahun Akademi Mokhtar Dahari yang berada di bawah Sekolah Sukan Malaysia Pahang merupakan antara yang terbaik di negara ini. Tidak hairanlah pasukan bawah 14 tahun mereka memilih untuk bermain dengan pemain kita bagi menguji kemahiran dan keupayaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Lawatan Mitsubishi Yowa S. C.  itu membabitkan 60 orang terdiri pemain dan pegawai. Pasukan bola sepak itu dijadual mengadakan perlawanan persahabatan sebanyak dua kali dengan pemain Akademi Mokhtar Dahari iaitu pada petang ini dan esok.

Dalam kunjungan itu, mereka dibawa melawat kelas, kemudahan latihan sukan di sekolah berkenaan selain dipersembahkan dengan pertunjukan kebudayaan.

Idrus berkata kerjasama seumpama itu merupakan pemangkin dalam memajukan pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang khususnya dalam bidang bola sepak.

"Lawatan ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan berharga buat pelajar dalam memahami tahap sukan negara luar terutama bola sepak.

"Pelajar kita boleh belajar bagaimana rakan seusia mereka berlatih dan bermain sekali gus menyedari kelemahan yang boleh diperbaiki untuk bersaing di peringkat antarabangsa nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan