AM

Jangan kongsi maklumat atau rahsia sulit kerajaan di media sosial - KSN

07/08/2018 05:12 PM

KOTA KINABALU, 7 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini mengingatkan semua penjawat awam agar tidak sekali-kali berkongsi sebarang maklumat atau dokumen sulit kerajaan di media sosial.

Beliau berkata penjawat awam terikat dengan Akta Rahsia Rasmi oleh itu hendaklah sentiasa bertanggungjawab menyimpan rahsia sulit kerajaan dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam pengurusan serta pengendalian dokumen-dokumen kerajaan.

Katanya, ini penting kerana ia melibatkan integriti penjawat awam yang bukan sahaja terhad kepada isu melibatkan rasuah tetapi juga dalam pengurusan dokumen sulit kerajaan.

"Saya minta penjawat awam berhati-hati bila memegang apa-apa dokumen rahsia sulit kerajaan. Penjawat awam juga perlu tahu apakah maklumat yang boleh didedahkan dan tidak boleh didedahkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam Sabah di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Nordin Siman dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah Dr Jamaluddin Mohd Ali.

Ali melahirkan kebimbangan terhadap kes kebocoran dokumen-dokumen rahsia kerajaan seperti berlaku baru-baru ini, dan menurutnya ia perkara serius serta tidak harus dipandang remeh.

Mengulas lanjut kes itu, Ali berkata, kepakaran pegawai dan keupayaan sistem forensik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah dapat mengenal pasti di mana punca kebocoran serta individu membocorkan maklumat, dan siasatan masih dijalankan.

Penjawat awam dikenal pasti terlibat dalam kes itu akan dikenakan tindakan sewajarnya, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan