AM

Dewan Rakyat lantik jawatankuasa pemilih

07/08/2018 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pelantikan sebuah Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-14, dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof serta dianggotai enam anggota jawatankuasa.

Mereka terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan Mohamad Sabu; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darell Leiking; Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Usul Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong itu diluluskan dengan suara majoriti anggota Dewan Rakyat.

Terdahulu, Mohamad Ariff menjelaskan beliau menerima surat daripada Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk semalam yang menolak pelantikannya sebagai ahli jawatankuasa itu.

Sebaliknya, beliau berkata, Ahmad Zahid telah mengemukakan nama Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) selaku Ketua Whip Barisan Nasional untuk dilantik anggota jawatankuasa berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada notis atau usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Bagan Datuk bagi tujuan itu. Oleh yang demikian, ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 26, 27 dan 30 (3) yang menghendaki satu usul dikemukakan bersama notis. 

"Justeru, saya tidak membenarkan ia dibangkitkan dalam dewan ini," kata Mohamad Ariff.

Jawatankuasa Pemilih akan dilantik pada awal tiap-tiap Parlimen untuk menjalankan kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Beluran dari BN Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dipilih Dewan Rakyat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi Majlis Parlimen Ke-14.

Anggota Parlimen Ipoh Timur dari Pakatan Harapan Wong Kah Woh pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi PAC.

Pakatan Harapan dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 antara lain menjanjikan akan memilih Ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi PAC. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan