AM

Pelakon Khalid Salleh meninggal dunia petang ini

23/07/2018 06:12 PM
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pelakon dan penggiat seni teater, Khalid Salleh meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri di sini hari ini.


Anak bongsu Allahyarham, Mohd Asyiq berkata  Allahyarham Khalid, 70, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 3.20 petang.


"Allahyarham dibawa ke pusat perubatan itu selepas mengadu sesak nafas pada pukul 8 pagi tadi sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Mohd Asyiq, 24, berkata jenazah akan disembahyangkan di Masjid Baru Taman Kosas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas di Ampang sebelum Maghrib.


Allahyarham Khalid meninggalkan seorang isteri Hamidah Abdullah, 60, dua anak lelaki serta seorang anak perempuan.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia Hafiz Nafiah berkata persatuan itu merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Khalid.


Allahyarham merupakan pelakon lelaki kedua negara menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi filem 'Jogho' selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.


Selain pernah popular dengan filem  'Azizah The Legend' dan 'Abang', Allahyarham juga merupakan penulis buku berjudul 'Melayu Hilang di Dunia' dan popular dengan filem 'Buai Laju Laju' serta 'Hanyut'.


Pada awal tahun ini, berita  mengenai penderitaan Khalid yang dikatakan sakit menjadi perhatian umum apabila  gambarnya yang kelihatan uzur tular di laman media sosial.


-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan