EKONOMI

Malaysia lancar program Pencepatan Transformasi Digital untuk perniagaan

09/04/2018 08:26 PM
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini melancarkan Program Pencepatan Transformasi Digital (DTAP) sejajar dengan komitmennya untuk mempercepat agenda transformasi digital negara.

Program itu menyediakan satu pendekatan berstruktur untuk transformasi digital syarikat-syarikat Malaysia dengan memanfaatkan kepakaran makmal transformasi digital untuk membantu perniagaan mengguna pakai teknologi digital baharu.

DTAP yang ditubuhkan  untuk syarikat besar dan pertengahan, bertujuan membantu perniagaan mencapai peningkatan produktiviti, mengurangkan pergantungan pekerja asing serta mencipta sumber pertumbuhan atau model perniagaan baru.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata melalui program itu, perniagaan Malaysia akan mendapat sokongan, bimbingan dan menjadi sebahagian daripada ekosistem yang akan menyediakan pendekatan berstruktur kepada transformasi ke dalam dunia digital.

"Matlamatnya adalah untuk membantu syarikat-syarikat Malaysia menjadi entiti bertaraf dunia, dan cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan menghubungkan mereka dengan makmal transformasi digital global.

"Dengan hubungan global ini, kami dapat memberikan syarikat pendedahan global yang mereka perlukan," katanya.

Program DTAP akan diadakan dalam dua fasa.

Dalam fasa perintis, kepakaran makmal transformasi digital dimanfaatkan untuk mengenal pasti peluang dan cabaran dalam ruang digital, merungkai penyelesaian yang berpotensi dan melaksanakan bukti konsep/produk berdaya maju dengan hasil yang boleh diukur.

Apabila fasa perintis yang berlangsung antara enam bulan hingga setahun berjaya ditamatkan, syarikat terbabit boleh memohon untuk menjalani pelaksanaan penuh.

DTAP disertai dengan geran pemadanan berasaskan hasil, yang merupakan perkongsian antara MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata agensinya telah bekerjasama dengan MDEC dalam menyusun DTAP bagi mengangkat pemain industri Malaysia dalam sektor keutamaan untuk membantu inisiatif digital mereka.

Azman berkata MIDA telah memudahkan peralihan syarikat-syarikat tempatan melalui Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) dan memperluaskannya untuk menampung DTAP anjuran MDEC.

"Kami berharap usaha ini akan terus mendapat sokongan daripada industri dan dalam jangka masa panjang kita akan mempunyai lebih banyak syarikat Malaysia yang berjaya dengan kemampuan untuk menembusi pasaran global," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan