EKONOMI

Malaysia mahu lebih banyak pelaburan dalam bidang teknologi baharu

05/04/2018 07:35 PM
GEORGE TOWN, 5 April (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan penubuhan lebih banyak syarikat yang melaksanakan elemen teknologi baharu seperti pengeluaran pintar, Internet-of-Things atau komunikasi peralatan serta Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata pelaburan signifikan oleh Tactilis Sdn Bhd (Tactilis) di Bayan Lepas dekat sini misalnya, dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta pekerjaan untuk rakyat Malaysia termasuk dari segi penerapan teknologi di negara ini.

Tactilis yang berpejabat di Singapura dan terbabit dalam usaha pengeluaran kad pintar biometrik, kini dalam proses mewujudkan kemudahan global pertamanya di Malaysia dan operasinya di Pulau Pinang akan melalui transformasi untuk memenuhi permintaan global serta sebagai Pusat Kecemerlangan bagi pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) global.

Beliau berkata, kewujudan kemudahan Tactilis itu pada akhirnya akan melonjakkan aspek daya saing pembekal tempatan dalam memenuhi piawaian antarabangsa dan membolehkan mereka menyertai rantaian nilai global.

"Projek ini adalah contoh bentuk pelaburan yang kita mahukan di Malaysia. R&D adalah faktor utama bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan sebarang perniagaan pada masa depan," katanya ketika berucap merasmikan kemudahan pengeluaran Tactilis dekat sini, hari ini.

Azman menyifatkan Pusat Kecemerlangan Baharu Tactilis itu akan menyemai persekitaran sesuai bagi inovasi dan idea pengubah selain mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam jawatan berkemahiran tinggi seperti jurutera R&D.

Sementara itu pada sidang media, pengasas Tactilis Michael Gardiner berkata syarikat itu menyasarkan untuk mengeluarkan kira-kira lima juta kad pintar biometrik, setahun.

Syarikat itu telah melabur sebanyak RM36 juta setakat ini dan merancang membuat pelaburan tambahan RM40 juta bagi mengembangkan kapasiti kilangnya di Pulau Pinang yang akan mewujudkan 100 pekerjaan tambahan, katanya.

"Asas pelanggan kita termasuk bandar pintar, program keanggotaan persendirian, syarikat komersial, sektor perbankan peribadi dan kerajaan. Kalangan pelanggan ini pula terletak di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Timur Tengah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan