EKONOMI

Pelaburan AS di Malaysia pada trajektori menaik - AMCHAM

04/04/2018 09:23 PM
Oleh Siti Radziah Hamzah


KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Pelaburan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia pada trajektori menaik dengan syarikat AS banyak terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi utama di Malaysia, termasuk elektrik dan elektronik serta penjagaan kesihatan.


Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), Siobhan Das, berkata pelaburan daripada syarikat AS itu sejajar dengan jenis industri yang disasarkan oleh Malaysia. 

"Saya tidak fikir pelaburan  dari AS telah berkurangan. Mereka mungkin beralih dalam apa yang mereka lakukan, dari segi apa yang mereka bawa.

"Saya fikir ia juga apa yang kerajaan Malaysia inginkan. 

"Saya fikir pelabur AS yang datang mempertimbangkan Malaysia untuk meningkatkan nilai tambah. Kita akan melihat banyak syarikat yang pergi tetapi hanya untuk memberi ruang kepada pelaburan dengan nilai tambah yang tinggi," katanya. 

Das berkata demikian kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Perniagaan Majlis Asia Pasifik Dewan Perniagaan Amerika (APCAC) 2018 di sini hari ini.

Bulan  lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan ia menyasarkan untuk mencapai nilai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM200 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi tahun ini. 

Sebanyak RM80 bilion daripada sasaran tersebut bagi sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan, termasuk pelaburan daripada penubuhan 12 syarikat tambahan yang akan mewujudkan hab utama mereka di Malaysia. 

Dari tahun 1980 hingga Jun 2017, sebanyak 1,161 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat AS telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM95.64 bilion.

Mengenai sama ada perang perdagangan AS-China akan memberi risiko kepada persekitaran perniagaan negara, Das berkata, negara akan terus menerima pelaburan jika Malaysia terus menyediakan persekitaran yang sesuai.  

"Perniagaan memerlukan kepastian tetapi ia tidak mengelak daripada menguruskan ketidaktentuan. Itu yang dilakukan oleh perniagaan. Ia mengambil dan menangani risiko serta menilai apa yang boleh dilakukan pada setiap  hari. 

"Saya fikir Malaysia telah menjalankan tugas yang hebat. Kita masih menerima pelaburan yang besar," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan