EKONOMI

UTM hasilkan produk kosmetik berteknologi nano hijau pertama di Malaysia 

03/04/2018 05:41 PM
JOHOR BAHRU, 3 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui syarikat hilirannya, Siti Hamidah Exclusive (SHE) Empire Sdn Bhd, berjaya menghasilkan produk kosmetik, Naturel Kiss Micellar Series berasaskan teknologi nano hijau yang pertama di negara ini.

Pensyarah dan Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga UTM Prof Madya Dr Siti Hamidah Mohd Setapar berkata produk penjagaan kulit yang berada di bawah rangkaian kosmetik Naturel Kiss itu dihasilkan  bersama tujuh pasukan penyelidik menggunakan 99 peratus bahan semula jadi yang diimport dari Jepun.

"Penggunaan bahan bermutu tinggi seperti Hyaluranic, Bee Venom, Hydrosol Mawar dan minyak semula jadi tumbuhan yang terkandung dalam produk ini (Micellar Series) mampu menjadi agen anti-penuaan, selain memberi kesan kulit yang lebih anjal, mencerah dan menyerikan wajah.

 "Penggunaan teknologi micellar turut membantu menambah keberkesanan cucian wajah dan solekan sehingga lima kali ganda daripada cucian biasa," katanya  kepada pemberita selepas pelancaran produk tersebut di Dewan Sultan Iskandar, UTM, di sini hari ini.

Siti Hamidah yang juga Pengarah Urusan SHE Empire itu berkata kajiannya dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi produk itu dalam bidang teknologi micellar memakan masa selama 15 tahun sebelum berjaya menghasilkan Micellar Series yang didatangkan dalam dua jenis produk iaitu Micellar Cleanser dan Micellar Energy Mist.

"Kita juga menyasarkan sebanyak 5,000 produk Micellar Series akan terjual dalam masa dua bulan, dan produk itu telah mula berada di pasaran sejak dua hari lepas," katanya.

Katanya idea untuk menghasilkan produk itu terdorong daripada lambakan produk pencuci dan penyegar di pasaran yang diimport dari luar negara dan menggunakan banyak bahan sintetik yang perlu diberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya wanita.

Mengenai rangkaian kosmetiknya, Naturel Kiss yang telah berusia dua tahun, Siti Hamidah berkata produknya telah menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa dan kini mempunyai  hampir 100 ejen di seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei.

"Naturel Kiss telah mengeluarkan 12 produk kosmetik termasuk Micellar Series dan dijual pada harga berpatutan tidak melebihi RM100 untuk satu produk.

"Kualitinya juga setanding dengan jenama antarabangsa yang menggunakan teknologi tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan