AM

PRU14: Siasatan berterusan kesan individu, organisasi berpotensi timbul kekecohan

29/03/2018 05:44 PM
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Polis akan terus menjalankan siasatan dan analisis untuk mengenal pasti kemungkinan terdapat lebih ramai individu atau organisasi yang berpotensi melakukan 'serangan mengejut di saat akhir' pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata buat masa ini, jumlah yang dikenal pasti iaitu kira-kira 1,100 individu dan organisasi masih lagi kekal. 

"Kita (polis) lihat keperluan dan sedang kemas kini data dari semasa ke semasa serta membuat semakan semula kerana polis menjaga keselamatan (negara)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) bersama Isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada 20 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah mengenal pasti individu dan organisasi yang berpotensi melakukan serangan mengejut untuk menimbulkan kekecohan pada PRU14.

Ahmad Zahid berkata ini berlaku pada pilihan raya lalu dengan dakwaan palsu kononnya 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini sebagai pengundi.

Mengenai perhimpunan haram yang diadakan di luar bangunan Parlimen semalam, Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 terhadap mereka yang terlibat.

"Perhimpunan itu tiada permit dan polis akan ambil tindakan termasuk ambil kenyataan daripada individu terlibat.

Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan berhubung perhimpunan itu, " katanya. 

Mohamad Fuzi juga berkata polis tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan kononnya dokumen mengenai usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan Dewan Rakyat semalam telah dibocorkan lebih awal.

Pada majlis itu, Mohamad Fuzi menyerahkan peruntukan RM2.3 juta kepada wakil-wakil Perkep di seluruh negara untuk aktiviti tahunan mereka.

Pada majlis yang sama, 17 individu terdiri daripada bekas-bekas Setiausaha Agung Perkep dan pegawai polis yang cemerlang menerima Pingat Jasa Kepahlawanan Negara yang disampaikan oleh Mohamad Fuzi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan