EKONOMI

Persidangan Rel MIDA menguntungkan syarikat tempatan

27/03/2018 08:32 PM
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Pesta Kerjaya dan Persidangan Rantaian Pembekalan Kebangsaan mengenai Projek Kereta Api 2018 pada 11-12 April depan, akan memberi faedah kepada syarikat-syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka akan dapat menerokai peluang dengan syarikat kereta api serta rakan kongsi penyampaian projek rel.

Majlis itu yang bertemakan 'Perniagaan Berkembang... Mewujudkan Pekerjaan', dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan akan menyaksikan penyertaan daripada beberapa peneraju utama tempatan seperti Prasarana Malaysia Bhd, Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan MyHSR Corp Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Arham Abd Rahman, berkata PKS akan mendapat pendedahan dan berhubung dengan firma-firma yang besar dalam industri rel.

"Sebagai contoh, MyHSR, yang baharu sahaja mengeluarkan tender bagi projek mereka, akan mengadakan sesi pemadanan perniagaan satu dengan satu untuk memberikan PKS peluang menyertai projek-projek mereka.

"Jika anda adalah sebuah syarikat Malaysia yang beroperasi dalam industri berkaitan dengan rel atau sokongan, anda pasti tidak mahu ketinggalan," katanya kepada pemberita semasa pra-pelancaran persidangan itu di sini hari ini.

Arham ketika bercakap mengenai kontrak yang akan ditawarkan kepada PKS, berkata  syarikat hanya akan mendedahkan butiran semasa majlis tersebut memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat  dijangka turut menyertai sesi padanan perniagaan. 

Sementara itu, katanya, acara itu juga akan menyerlahkan peluang dalam rantaian bekalan industri sokongan tempatan yang berkaitan dengan Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Landasan Kereta Api  Pantai Timur, Transit Aliran Massa dan Transit Aliran Ringan.

"Acara itu juga akan menjelaskan penerangan yang mendalam mengenai pelan hala tuju industri kereta api negara serta perkembangan terbaharu membabitkan pembangunan projek kereta api," katanya.

Keretapi Tanah Melayu Berhad dan peneraju industri berkaitan rel turut mengadakan pameran mengenai perkembangan landasan kereta api di negara ini.

Arham berkata acara itu juga menonjolkan pameran kerjaya, yang dijangka menawarkan 20,000 pekerjaan dalam 100 syarikat terlibat.

"Syarikat-syarikat  ini adalah daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan, serta institusi-institusi kewangan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan