EKONOMI

MIDA: Pelaburan minyak dan gas bernilai RM1.8 bilion dalam perancangan

22/03/2018 10:27 PM
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telahpun mempunyai pelaburan dalam projek berkaitan minyak dan gas bernilai RM1.8 bilion dalam perancangan bagi tempoh tiga bulan pertama 2018, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud.


Ini, katanya, menunjukkan Malaysia terus menjadi lokasi strategik bagi pemain industri minyak dan gas.


"Pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) akan menarik pelaburan masa depan dalam industri, terutamanya bagi memenuhi permintaan untuk pemeriksaan, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, serta perkhidmatan pusing ganti loji bagi sejumlah besar loji, mesin dan peralatan di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Azman berkata tahun lepas, agensi itu meluluskan satu lagi projek bagi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), komplek penapisan dan petrokimia bersepadu tinggi, yang bakal menaikkan status Malaysia sebagai peneraju global dalam industri produk petrokimia.


Ia merupakan sebahagian daripada PIPC seluas 22,000 ekar dengan pelaburan semasa yang diluluskan berjumlah US$27.2 bilion (US$1=RM3.91). Apabila siap kelak, PIC akan menyediakan 4,000 peluang pekerjaan bagi negara.


Beliau berkata MIDA terus bekerjasama dengan pemegang kepentingan untuk membangunkan prasarana dan kemudahan sokongan dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas.


Ini termasuk Pangkalan Bekalan Tok Bali yang dijangka melengkapkan pangkalan bekalan lain di negara ini dan menawarkan kelebihan kos bagi aktiviti eksplorasi di luar pantai Pantai Timur.


“Meskipun perkembangan ini, industri minyak dan gas masih berdepan cabaran seperti keadaan pasaran yang tidak menentu dan perubahan corak penggunaan.


“Kerjasama dan perbincangan secara kerap antara pengendali, penyedia perkhidmatan dan pemegang kepentingan kerajaan yang relevan adalah penting untuk menangani cabaran ini. Kerajaan juga menggalakkan pemain industri tempatan untuk banyak melabur dalam teknologi dan inovasi untuk meningkatkan daya saing dan kemampanan bagi mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan dan prestasi.


“Ini termasuk pemantauan jauh, pemusatan fungsi-fungsi pekerjaan tertentu dan analisis ramalan bagi operasi mereka,” kata Azman.


Sementara itu, agensi tersebut ketika ini terlibat dalam OTC Asia 2018, yang sedang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Acara itu merupakan sebahagian daripada usaha promosi MIDA dalam menyediakan maklumat secara terus mengenai rancangan Malaysia untuk menjadi hab Asia Pasifik bagi industri minyak dan gas.


Persidangan itu menarik lebih 3,000 perniagaan minyak dan gas terdiri daripada syarikat minyak dan perkhidmatan dan pembuatan yang menyokong keperluan rantaian nilai minyak dan gas di peringkat tempatan dan serantau.


Antara pemain utama global yang menyertai persidangan itu ialah TechnipFMC, Aker Solutions, Halliburton, Cameron International dan Schlumberger.


-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan