AM

TPM Zahid hadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat Bagan Datuk

18/03/2018 04:42 PM
SERDANG, 18 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghadiri  majlis jamuan makan tengahari bersama-sama lebih 2,500 masyarakat Bagan Datuk yang menyertai program santai Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)@Bagan Datuk di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini.

Turut  hadir isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis.

Dalam ucapannya, Ahmad  Zahid yang juga Anggota  Parlimen Bagan Datuk berkata mesyuarat exco kerajaan negeri  Perak baru-baru ini telah meluluskan penubuhan Majlis Daerah Bagan Datuk.

"Apabila Bagan Datuk ada pejabat daerah dan majlis daerah sendiri, ia merupakan kombinasi yang baik. Pentadbiran rakyat boleh dilakukan secara lebih teratur," katanya.

Tahun  lepas, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengisytiharkan Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 di Perak. Sebelum ini Bagan Datuk  berada di bawah pentadbiran daerah Hilir Perak dan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Ahmad Zahid juga berkata bahawa beliau  memerlukan  komitmen semua  pihak untuk merealisasikan kemajuan dan pembangunan di Bagan Datuk  terutamanya dalam menjayakan gagasan TN50 demi generasi akan datang. 

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan slogan daerah Bagan Datuk iaitu 'Mendukung Tradisi, Menjulang Transformasi'  selain lagu tema daerah Bagan Datuk yang dinyanyikan oleh Datuk M.Daud Kilau, Yassin dan Altimet. 

Turut hadir pada majlis itu ialah pelakon popular Fattah Amin yang berasal dari Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk serta pelakon Adiputra dan Den Wahab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan