EKONOMI

Eksport Semikonduktor Malaysia Berdaya Tahan, Naik 15.7 Peratus Pada Separuh Pertama 2025 - Tengku Zafrul

24/07/2025 07:00 PM

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Eksport semikonduktor Malaysia kekal berdaya tahan, meningkat 15.7 peratus dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini sahaja, mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan sebanyak 3.8 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata setiap RM1 yang dibelanjakan akan menjana lebih RM2 dalam hasil langsung merentasi ekonomi melalui rantaian bekalan, sektor sokongan dan pendapatan isi rumah.

“Secara keseluruhan, industri ini menjana hasil ekonomi sebanyak RM4.9 trilion pada tahun lepas, menggariskan peranannya sebagai pemangkin nasional,” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 hari ini.

Tengku Zafrul berkata prestasi separuh pertama 2025 jelas menunjukkan kepentingan dan daya saing Malaysia dalam sektor semikonduktor global walaupun berdepan cabaran global.

Beliau berkata aspek yang tidak kurang penting ialah pertumbuhan ini berkembang -- dari Pulau Pinang dan Selangor ke Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

Selain itu, katanya langkah ini juga bukan hanya meningkatkan prestasi pemain utama, malah hampir 1,000 perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk asas ekosistem semikonduktornya.

“Apa yang menjadikan industri ini penting ialah impaknya yang meluas,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sepanjang tahun lepas, Malaysia mencatatkan kemajuan dalam beberapa sasaran strategik di bawah Strategi Semikonduktor Nasional, termasuk pelaburan, peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, teknologi dan pemindahan pengetahuan.

“Kerjasama kita dengan pelbagai pihak berkepentingan, daripada kerajaan negeri, syarikat multinasional dan industri hingga kepada agensi dan universiti membantu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor kita terhadap ketidaktentuan pasaran global,” katanya.

Dari segi pembiayaan, Tengku Zafrul berkata sektor awam dan swasta di Malaysia sama ada melalui ekuiti persendirian atau pasaran awam, telah menunjukkan komitmen dalam menyokong industri semikonduktor melalui pelbagai platform.

Sementara itu, katanya Malaysia mencatat kemajuan yang baik dalam Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu ASEAN (AFISS).

Beliau berkata ASEAN perlu melaksanakan pendekatan yang bersepadu dan menuju ke arah kecemerlangan dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing.

“Dengan menyelaraskan dasar, menggalakkan mobiliti bakat dan menarik pelaburan strategik, kita dapat meningkatkan daya saing ASEAN melalui rantaian bekalan ekosistem semikonduktor serantau yang kukuh dan bersepadu, yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan