EKONOMI

Camaroe Dapat Kelulusan Bursa Untuk Penyenaraian Pasaran ACE

16/07/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kumpulan akuakultur bersepadu, Camaroe Bhd, telah menerima kelulusan dari Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Camaroe yang memiliki kepakaran dalam pertanian serta pemprosesan udang harimau hitam melalui satu kenyataan hari ini berkata tawaran awam permulaannya (IPO) akan melibatkan penerbitan 99 juta saham baharu termasuk tawaran untuk menjual 49.5 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih.

Pengarah Urusan Tech Han Boon berkata dengan asas kukuh kumpulan dalam pertanian udang serta keupayaan pemprosesan yang berkembang, IPO itu akan membolehkan Camaroe meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi melalui jentera dan teknologi terkini.

"Selain itu, ia akan mengukuhkan kualiti produk kami melalui penubuhan jabatan bioteknologi," katanya. 

Camaroe berkata IPO tersebut akan memperuntukkan 24.75 juta saham atau lima peratus daripada modal saham yang diperbesarkan kepada orang awam Malaysia, dengan 2.5 peratus disediakan kepada pelabur awam dan baki 2.5 peratus kepada pelabur awam Bumiputera.

Sejumlah 12.38 juta saham atau 2.5 peratus pula akan disediakan kepada pengarah yang layak, pengurusan kanan dan kakitangan utama melalui peruntukan borang merah jambu. 

Sebanyak 61.87 juta saham atau 12.5 peratus, dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

"Perolehan dari IPO ini akan menyokong pembinaan kemudahan pemprosesan baharu di Bukit Raja, pembelian jentera dan peralatan termasuk pemasangan panel solar bagi meningkatkan kemampanan. 

"Selain itu, Camaroe merancang untuk menubuhkan jabatan bioteknologi bagi mengukuhkan keupayaan penyelidikannya selain meningkatkan kecekapan pertanian," kata syarikat itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata infrastruktur akuakultur Camaroe yang mantap, ditambah pula dengan model bersepadu vertikal serta kehadirannya yang semakin melonjak di pasaran eksport, meletakkannya dalam kedudukan yang baik bagi mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global untuk makanan laut premium.

"Keupayaan kumpulan yang terbukti dalam menghasilkan udang harimau hitam berkualiti, seperti yang ditonjolkan oleh kemampuannya dalam memenuhi piawaian kualiti yang diiktiraf di dalam dan di peringkat antarabangsa, menjadikannya sebagai calon penyenaraian yang menarik di Pasaran ACE," katanya lagi.

M&A Securities adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan