Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Penguatkuasaan permit perdagangan ke atas cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi dari Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan semalam, hanya mengukuhkan lagi komitmen Malaysia sebagai sebuah hab yang diyakini dalam mengurus eksport, penghantaran dan transit teknologi maju.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata langkah itu juga memberi isyarat jelas mengenai keseriusan Malaysia dalam mematuhi penetapan perdagangan antarabangsa, termasuk kawalan eksport yang dikenakan AS.
“Permit dagangan itu membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahgunakan eksport, penghantaran atau dagangan haran,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas langkah diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), semalam.
Ini membabitkan langkah berkuat kuasa serta-merta, semua eksport, pemindahan dan transit cip AI berprestasi tinggi berasal dari AS kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik yang juga inisiatif untuk merapatkan jurang pengawalseliaan.
Peruntukan berdasarkan Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) yang dikenali sebagai peruntukan “Catch-All Control” itu menetapkan individu atau syarikat hendaklah memberitahu pihak berkuasa sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal mengenai niat mengeksport, memindahkan dan melakukan transit terhadap sebarang barangan yang tidak tersenarai dalam Senarai Barangan Strategik (SIL), sekiranya terdapat pengetahuan atau syak yang munasabah bahawa barangan itu boleh disalah guna atau terlibat dalam aktiviti yang disekat.
Mengulas selanjutnya, Wong berkata banyak syarikat Malaysia yang bertindak mengambil langkah proaktif, termasuk melaksanakan audit dalaman bagi memastikan mematuhi peraturan tempatan dan antarabangsa.
“Baik di sektor swasta mahupun kerajaan memandang perkara ini dengan serius dan mahu memastikan semua urusan dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Namun, pada masa sama, Wong berkata adalah perlu bagi kerajaan memberi penjelasan lebih terperinci mengenai obligasi pelaporan di bawah permit dagangan strategik itu.
“Kami mahukan maklumat mengenai apa yang perlu dilaporkan serta apa yang dianggap sebagai notifikasi kepada pihak berkuasa. Hanya selepas penjelasan ini, syarikat boleh menyepadukan sebarang langkah tambahan untuk memastikan pematuhan itu,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Utama Pacific Research Center of Malaysia, Oh Ei Sun berkata langkah itu tidak akan menjejaskan pusat data tempatan atau projek pembangunan AI kerana tertumpu terutamanya penghantaran atau eksport cip buatan AS dan bukan import ke Malaysia untuk kegunaan domestik.
“Saya bukan katakan industri Malaysia kurang telus sebelum ini. Namun, AS kini mengambil serius mengenainya dan Malaysia perlu bertindak wajar kerana turut menghargai hubungan menyeluruh dengan AS,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial