EKONOMI

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Naik 24.9 Peratus Pada Mei 2025 - DOSM

10/07/2025 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Pengeluaran getah asli meningkat 24.9 peratus kepada 22,494 tan pada Mei 2025 berbanding 18,008 tan pada April 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 12.2 peratus daripada 25,608 tan pada Mei 2024.

Beliau berkata sebanyak 85.4 peratus daripada pengeluaran getah asli pada Mei 2025 disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil manakala ladang menyumbang 14.6 peratus.

Jumlah stok getah asli pada Mei 2025 menurun 11.4 peratus kepada 180,569 tan berbanding 203,708 tan pada April 2025.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 86.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (13.7 peratus) dan estet getah (0.2 peratus).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 35,939 tan pada Mei 2025, meningkat 0.1 peratus berbanding April 2025 (35,901 tan).

China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2025, diikuti Jerman (15.8 peratus), Emiriah Arab Bersatu (14.0 peratus), Amerika Syarikat (8.1 peratus) dan India (6.6 peratus).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.04 bilion pada Mei 2025, menurun 3.5 peratus berbanding April 2025 (RM1.07 bilion). 

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 5.2 peratus (Mei 2025: 613.80 sen sekilogram; April 2025: 647.20 sen sekilogram) manakala sekerap menurun sebanyak 5.4 peratus (Mei 2025: 606.67 sen sekilogram; April 2025: 641.27 sen sekilogram).

Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (SMR) pula menunjukkan penurunan antara 3.2 peratus dan 5.1 peratus.

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga getah jenis TSR 20 (Getah Ditentukan Secara Teknikal) menurun 0.2 peratus daripada US$1.71/kg kepada US$1.70/kg dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 3.3 peratus daripada US$2.13/kg kepada US$2.19/kg. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan