KOTA KINABALU, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah menerima pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek sepanjang 2021 hingga 2024, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata jumlah itu merangkumi pelaburan domestik berjumlah RM20.61 bilion dan pelaburan asing sebanyak RM14.77 bilion.
Beliau berkata dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 52 pelaburan dengan nilai keseluruhan RM17.42 bilion telah berjaya direalisasikan.
"Pada suku pertama 2025 sahaja, sejumlah RM10.9 bilion jumlah pelaburan telah diluluskan di Sabah, menunjukkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap potensi ekonomi negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) yang ingin tahu pencapaian kerajaan negeri dalam pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kelestarian rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
Nizam berkata bagi 2024, pelaburan domestik mencatatkan nilai yang lebih besar berjumlah RM5.37 bilion berbanding pelaburan asing sebanyak RM1.08 bilion, manakala pada 2023, pelaburan domestik mencecah RM11.21 bilion berbanding pelaburan asing hanya RM0.13 bilion.
"Pelaburan asing di negeri ini menjurus kepada pengkhususan dalam sektor-sektor khas seperti pembuatan kerajang tembaga, panel solar, minyak dan gas, serta besi keluli, manakala pelaburan domestik melibatkan pelbagai industri lain," katanya.
Beliau berkata Sabah telah mencatatkan kejayaan ketara dalam menarik pelaburan di bawah pentadbiran kerajaan negeri semasa, menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap ekonomi negeri.
Katanya bagi menyokong perkembangan ini, kerajaan negeri telah merancang untuk menubuhkan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Bersepadu di Kota Belud/Kota Marudu dan Taman Perindustrian Bersepadu di kawasan Beaufort, Kimanis.
“Perdagangan Sabah kekal kukuh apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM107.8 bilion pada tahun lalu sekali gus melepasi paras RM100 bilion bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2022,” katanya.
Menurut Nizam, sektor pelancongan turut memberikan impak positif dengan Sabah merekodkan kehadiran 7.8 juta pelancong sepanjang tempoh 2021 hingga 2024, yang mana 5.44 juta merupakan pelancong domestik manakala 2.4 juta pelancong antarabangsa.
"Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, Sabah telah menerima 1.4 juta pelancong dengan 848,420 orang pelancong domestik dan 559,150 orang pelancong antarabangsa, menunjukkan kemajuan berterusan dalam sektor pelancongan negeri ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pencapaian keseluruhan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) setakat Mei tahun ini telah mencapai 94 peratus melibatkan 467 inisiatif dilaksanakan.
“Ini termasuk 366 inisiatif yang telah mencapai tahap 100 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial