KUCHING, 7 Jun (Bernama) -- Langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan tenaga kerjanya berpunca daripada cabaran global dan tidak berkaitan dengan isu syarikat minyak nasional itu dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata proses penstrukturan itu perlu dilakukan di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah ketika ini.
Menurutnya, beliau juga merancang bertemu dengan Petronas untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai proses penstrukturan semula itu.
"Itu (cabaran global) adalah sebab mengapa Petronas perlu menyusun semula keseluruhan operasinya.
"Saya merancang untuk bertemu dengan mereka (Petronas) untuk mendapatkan taklimat mengenai perkara itu dan bagi memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ibadah korban Aidiladha di Masjid Taman Hussein, di sini, hari ini.
Pada 5 Jun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata syarikat minyak nasional itu akan mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dalam mendepani keadaan operasi yang mencabar, terutamanya disebabkan penurunan harga minyak mentah.
Beliau berkata bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses itu dianggarkan berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan secara berperingkat tahun depan.
Pada 21 Mei lepas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencapai persefahaman dengan menandatangani deklarasi bersama berhubung perkara yang melibatkan Petronas dan Petros.
Menurut deklarasi bersama itu, Petronas akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipannya yang diamanahkan kepada syarikat tersebut di Malaysia, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturannya.
Sebarang perjanjian antara Petronas dan anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan gas asli cecair (LNG) daripada operasi huluan hingga eksport LNG kepada pihak asing kekal tidak terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial