KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan siri buku 40 Hadis mengenai kemampanan dan transaksi jualan beretika untuk menggalakkan pemahaman perspektif Islam lebih mendalam mengenai kemampanan dan etika Islam dalam urus niaga komersial.
Penerbitan itu yang dilancarkan semasa Nadwah Penasihat Syariah dalam Pasaran Modal Islam (ICM) SC Ketiga (SC Nadwah), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran industri dan pelaksanaan praktikal.
Penerbitan siri buku itu merupakan titik penting dalam meningkatkan kesedaran industri mengenai penerapan prinsip-prinsip Panduan Maqasid al-Syariah dalam ICM (Panduan), khususnya dalam bidang seperti penjagaan alam sekitar, perniagaan bertanggungjawab dan amalan perdagangan.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata menghayati panduan yang terkandung dalam hadis-hadis itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang adil, terangkum dan mampan.
"Lebih penting lagi, SC bertekad untuk menjadikan Maqasid al-Syariah sebagai rangka kerja asas untuk urusan perniagaan dalam ICM," katanya dalam satu kenyataan.
SC juga mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Maqasid al-Syariah untuk ICM (MaTF), yang akan memacu dan menyelaraskan penggunaan panduan berkenaan dalam ICM Malaysia.
Ini termasuklah mengenal pasti bidang-bidang untuk kerjasama strategik dan inovasi antara badan kawal selia dan pemain-pemain industri.
Ahli-ahli pasukan petugas itu termasuk Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MAAM), Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE).
Ditubuhkan pada 2023, SC Nadwah berfungsi sebagai platform pertemuan untuk wacana intelektual mengenai perkongsian pengetahuan syariah gunaan dan melakarkan gelombang penyelesaian syariah inovatif seterusnya dalam kalangan penasihat syariah dan pengamal pasaran.
Siri buku 40 Hadis kini boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/resources/publications-and-research.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial