EKONOMI

MCBA Meterai MoU Dengan 20 Persatuan Tempatan Malaysia Bagi Teroka Pasaran Kemboja

13/05/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Persatuan Perniagaan Kemboja Malaysia (MCBA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 20 persatuan tempatan Malaysia bagi meneroka pasaran luar negara, bermula dengan Kemboja.

Presiden MCBA Datuk Seri Dr Ricky Yaw berkata MoU boleh diperbaharui selama setahun itu dijangka membawa masuk sekurang-kurangnya 100 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor seperti baja, kejuruteraan, elektrik dan pembinaan.

Beliau turut mengumumkan Misi Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Kembola 2025 yang akan diadakan pada 26-29 Julai di Phnom Penh, Kemboja.

“Kami sudah memeterai MoU dengan 20 persatuan sebagai sebahagian daripada pakatan yang lebih meluas, bukan hanya untuk Kemboja, tetapi ia bermula di sini. 

“Ia menandakan bermulanya projek pertama kami.

“Saya percaya dengan gabungan kekuatan 20 persatuan ini, dan berpotensi lebih banyak pada masa akan datang, pakatan ini akan membolehkan kami bergerak dengan lebih berkesan merentasi sempadan,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian di sini, hari ini.

Menurut beliau, pakatan yang kukuh itu menandakan kejayaan penting dalam diplomasi ekonomi Malaysia, mengesahkan komitmen bersama dalam mempromosikan perdagangan merentasi sempadan, aliran pelaburan, pertukaran inovasi dan kerjasama antara rakyat di Malaysia dan Kemboja.

“Kerjasama strategik ini dijangka menjadi platform transformasi, memperkasa perniagaan di Malaysia bagi meneroka pasaran luar negara, selain menarik pelaburan asing dan usahasama kembali ke Malaysia.

“Ia bertujuan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dua hala dan pelbagai hala merentasi pelbagai industri,” katanya.

Yaw turut menekankan bahawa MCBA akan bertindak sebagai pintu masuk bagi membuka peluang serantau, menghubungkan industri dan mengukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat global.

Katanya, Kemboja menawarkan persekitaran yang meyakinkan bagi pelaburan dan perdagangan, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Halangan kemasukan di Kemboja agak rendah, kerana keperluan pensijilan dan kawal selia masih berkembang.

“Bagi PKS, kos merupakan faktor utama. Jika terlalu mahal untuk memasuki pasaran, ia menjadi sangat sukar bagi mereka.

“Di Kemboja, anda boleh mendaftar sebuah syarikat dengan 100 pemilikan asing.

“Anda tidak memerlukan rakan kongsi tempatan, dan anda boleh membuka perniagaan dalam masa yang singkat.

“Ia merupakan kelebihan utama bagi PKS,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan