KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth di Singapura semasa lawatan kerja singkat beliau ke republik itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata antara perkara dibincang pada pertemuan itu ialah usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan maritim selain menzahirkan penghargaan atas penglibatan Amerika Syarikat di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) baru-baru ini.
Anwar berkata semasa lawatan kerja ke Singapura, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Presiden Boeing Global Brendan Nelson.
“Sewaktu kunjungan Presiden Boeing Global Brendan Nelson, kami menggunakan ruang itu bagi membincangkan keselamatan maritim, modenisasi aset, pelaburan dalam pendidikan selain kolaborasi dengan pemain industri tempatan terkait latihan, kerjasama strategik serta pembangunan ekosistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.
Beliau berkata kedua-dua pertemuan itu mampu melonjakkan lagi kepentingan Malaysia dalam bidang pertahanan di peringkat serantau dan juga global.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 iaitu persidangan berprestij pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik, dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial