AM

Kajian Pengambilan Jururawat Indonesia Mesti Lindungi Kepentingan Awam - Dzulkefly

11/08/2025 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan sebarang hasil kajian mengenai pengambilan jururawat dari Indonesia mesti mengambil kira kepentingan rakyat, kebajikan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan keberkesanan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.

Beliau berkata kementerian akan memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam melaksanakan kajian itu yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidamatan Awam (SPA) susulan cadangan daripada Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto.

“Ketika ini, KKM akan terus berusaha untuk mengatasi kekurangan jururawat melalui pendekatan pelbagai strategi seperti dinyatakan sebelum ini. Diakui bahawa tiada penyelesaian segera untuk mengatasi keadaan yang boleh dikatakan meruncing ini,” katanya menerusi hantaran di X hari ini. 

Beliau berkata kekurangan jururawat diburukkan oleh beberapa faktor, antaranya penggantungan pengambilan pelatih baharu di Institut Latihan KKM (ILKKM) selama dua tahun semasa pandemik COVID-19 dan moratorium terhadap program kejururawatan swasta yang hanya ditamatkan pada tahun lepas.

Ketika pelancaran Karnival Kerjaya MADANI SPA 2025 di Putrajaya, Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang cadangan atau dasar membabitkan pengambilan jururawat dari Indonesia di hospital kerajaan dilaksanakan.

Cadangan itu mendapat perhatian selepas kerajaan Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam sekitar negeri  Ling Tian Soon, secara terbuka mengalu-alukan cadangan bagi kerjasama strategik dengan Indonesia untuk menangani kekurangan jururawat di Malaysia, terutama di negeri itu. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini turut memaklumkan hospital utama di Johor Bahru berdepan masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius dan kritikal, sebagai contoh seorang jururawat terpaksa mengurus lebih 10 hingga 14 pesakit bagi setiap syif, berbanding nisbah ideal iaitu 1:6 atau maksimum 1:8.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan