AM

Pertemuan Dengan Mangsa Kebakaran Pantai Dalam Untuk Selaras Bantuan Akan Diatur - Fahmi

08/08/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bentuk bantuan jangka panjang kepada mangsa kebakaran yang memusnahkan 14 rumah dan beberapa buah premis perniagaan di Pantai Dalam malam tadi, akan diteliti terlebih dahulu sebelum diselaraskan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya sedang mengatur beberapa sesi pertemuan melibatkan mangsa kejadian itu dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan berkenaan.

“Pertama, dengan keluarga-keluarga yang terkesan, kita akan teliti bentuk bantuan selain sumbangan kewangan dan kecemasan yang boleh kita berikan. Saya ingin pindahkan mereka mungkin ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berdekatan supaya dalam tempoh pembinaan semula ataupun semasa mereka mencari rumah baharu, sekurang-kurangnya ada tempat yang lebih sesuai untuk mereka.

“Bagi premis-premis peniagaan yang terkesan, saya akan adakan pertemuan dengan pihak DBKL bersama dengan tuan tanah dan pengusaha kedai-kedai termasuk dengan beberapa pihak yang lain untuk kita teliti langkah berikutnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Agama Al-Khwarizmi yang menempatkan 66 mangsa daripada 17 keluarga.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata berdasarkan maklum balas daripada pihak bomba, struktur sedia ada premis-premis terlibat telah rosak sepenuhnya dan berkemungkinan perlu dirobohkan.

“Memang tidak boleh diselamatkan kerana rangkanya, strukturnya kayu dan sangat-sangat bahaya. Tidak boleh dibaik pulih, kemungkinan besar perlu dirobohkan sepenuhnya dan dibangunkan satu struktur yang baharu.

“ … kita akan teliti jenis bantuan yang boleh kita salurkan untuk membantu membangunkan semula kawasan ini dalam tempoh yang akan datang,” katanya.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa hampir sejam meninjau lokasi kejadian.

Dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi, sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival musnah dijilat api.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan berkeluasan anggaran 0.074 hektar serta premis kedai dengan keluasan 0.223 hektar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan