AM

Naik Taraf Sistem Semboyan Laluan Kelana Jaya Dijadual Semula Pada 6 Sept

06/08/2025 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan kerja naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya bagi Fasa 2 dan Fasa 3 yang sebelum ini dijangka bermula Sabtu ini telah dijadualkan semula ke tarikh baharu, iaitu 6 Sept depan.

Menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), penjadualan semula itu bagi memberi ruang kepada pelaksanaan ujian tambahan terhadap sistem semboyan baharu Fasa 1 untuk memastikan ia berfungsi dengan sempurna dan cekap sebelum pelaksanaan sepenuhnya.

Ujian tambahan berkenaan amat penting bagi menilai prestasi sistem dalam persekitaran operasi sebenar dan meminimumkan risiko gangguan operasi pada masa hadapan.

“Bagi Fasa 1, kerja-kerja naik taraf dilaksanakan pada waktu penyelenggaraan malam memandangkan kawasan yang terlibat tertumpu di sekitar depoh dan tidak melibatkan laluan utama operasi tren.

“Projek penaiktarafan itu sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang susulan insiden gangguan sistem yang berlaku pada November 2022,” menurut kenyataan Prasarana hari ini.

Fasa 2 akan dilaksanakan pada 6, 7, 14, 15, 21, 27 dan 28 September, serta 11 dan 12 Oktober membabitkan stesen KLCC hingga Gombak, manakala  Fasa 3 dijadualkan pada 1, 2, 8, 9, 15, 16, 29 dan 30 November bagi laluan dari Lembah Subang hingga Ampang Park.

Ini bermakna stesen yang terlibat hanya akan dibuka kepada penumpang mulai 9 pagi, lewat daripada waktu operasi biasa, iaitu 6 pagi manakala stesen yang tidak terlibat dengan pengujian sistem akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu operasi harian tanpa sebarang perubahan.

Bas dan van perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen yang terlibat bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang.

“Penumpang akan dibantu petugas stesen, polis bantuan dan Prasarana Troopers (sukarelawan terlatih) yang akan ditempatkan di stesen terlibat dan stesen integrasi. Papan tanda dan risalah maklumat turut disediakan di stesen dan hentian bas sebagai panduan tambahan kepada pengguna.

“Prasarana ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul susulan perubahan jadual kerja naik taraf itu. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan berkenaan,” menurut kenyataan itu. 

Sistem semboyan baharu SelTrac Generasi 8 yang diperkenalkan menawarkan kelebihan seperti analisis data masa nyata, keselamatan siber yang lebih baik dan kestabilan komunikasi lebih tinggi serta dijangka memanjangkan jangka hayat sistem semboyan sedia ada hingga 20 tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual baharu naik taraf, senarai stesen terlibat serta perkhidmatan alternatif yang disediakan, orang ramai disarankan untuk melayari laman web rasmi di www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL untuk sebarang perkembangan terkini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan