KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Digital bersedia untuk melaksanakan transformasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi pelbagai inisiatif utama termasuk penubuhan Bank Data Negara dan penggunaan Teknologi Berkembar Digital.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Bank Data Negara akan berperanan sebagai pangkalan data nasional bersepadu berkualiti tinggi yang memudahkan akses data serta memperkukuh keupayaan analisis maklumat.
Beliau berkata sistem Teknologi Berkembar Data pula akan membolehkan simulasi persekitaran kompleks secara masa nyata bagi membantu pembuat dasar menguji pelbagai senario dan menambah baik pelaksanaan keputusan.
“Gabungan kedua-duanya akan memperkasa keputusan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai bidang seperti perancangan bandar, tindak balas bencana, logistik dan penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gobind berkata kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya Data iaitu sebuah badan bebas di bawah kementeriannya yang melindungi aset data negara serta menggalakkan amalan inovasi bertanggungjawab.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan mengawal selia tadbir urus data, menguatkuasakan amalan perkongsian data selamat, menggalakkan penggunaan data secara beretika, menyokong kerjasama data rentas sektor secara telus serta memainkan peranan penting dalam mengurus infrastruktur digital negara dan memperkukuh kepercayaan awam dalam ekonomi berasaskan data.
Selain itu, beliau berkata GovTech Malaysia akan menerajui transformasi perkhidmatan awam digital dengan menyelaras usaha bersepadu, merangkumi pelaksanaan infrastruktur digital awam yang menyeluruh, mempertingkatkan kesalingoperasian sistem serta mempercepat penyampaian perkhidmatan dalam talian.
“Satu daripada inisiatif di bawah RMK13 ialah pembangunan satu gerbang perkhidmatan kerajaan yang menyeluruh, berasaskan aplikasi mudah alih MyGov dan portal malaysia.gov.my bagi membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan awam secara selamat, peribadi dan bersepadu melalui satu platform tunggal,” katanya.
Menurut Gobind, usaha ini juga menyokong sasaran 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan disampaikan sepenuhnya dalam talian menjelang 2030, selaras dengan aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara teratas dalam Indeks Pembangunan Kerajaan Elektronik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Indeks Perkhidmatan Dalam Talian) pada tahun sama.
“RMK13 melambangkan komitmen nasional dan berperanan sebagai pelan induk untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang maju, berproduktiviti tinggi, makmur serta berteraskan rakyat. Ia turut mencerminkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan agenda negara ke arah Malaysia Digital 2030 dapat direalisasikan,” katanya.
Menjelang Sidang Kemuncak AI ASEAN pada 12 hingga 13 Ogos dan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur (17 hingga 19 Sept), Gobind berkata kedua-dua acara itu merupakan platform terbaik untuk kementeriannya memperluas inisiatif yang digariskan di bawah RMK13.
“Acara ini bukan saja memberi manfaat kepada pemain tempatan tetapi juga pengunjung luar negara dapat merasai aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pemain global dalam bidang digital.
“Penganjuran acara seperti ini juga mampu menarik perhatian pelabur terhadap ekonomi digital negara yang semakin pesat dengan jumlah pelaburan digital diluluskan mencecah RM163.6 bilion tahun lepas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial