AM

Hubungan Pelancongan Malaysia–Vietnam Diperkukuh Melalui Kerjasama Dengan Vietjet Air

02/08/2025 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Tourism Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan tambang rendah Vietnam, Vietjet Air, bagi mempertingkatkan kesalinghubungan udara dan mempromosikan pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dalam hantaran Facebook berkata inisiatif ini juga membuka laluan bagi pembangunan produk pelancongan sister city itu.

 "Malaysia dan Vietnam bukan sekadar negara jiran, kita ialah rakan yang terikat oleh hubungan sejarah dan budaya yang mendalam. Pertukaran pelancong antara dua negara juga menunjukkan peningkatan berterusan, satu petanda jelas bagi potensi pelancongan dua hala yang kukuh.

"Saya percaya masih ada ruang untuk berkembang. Kita perlu meningkatkan usaha untuk mencapai matlamat sasaran kedatangan lebih satu juta pelancong setiap tahun," katanya.

Tiong berkata MoU itu ditandatangani semasa majlis pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, yang diadakan bersempena dengan Promosi Budaya dan Makanan Malaysia serta Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) di Hanoi, Vietnam, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 26 delegasi Malaysia termasuk pengusaha hotel, ejen pelancongan, wakil MM2H dan pegawai pelancongan negeri yang hadir bersama-sama untuk menampilkan kepelbagaian tawaran pelancongan Malaysia semasa majlis berkenaan.

Tiong berkata kerjasama antara Tourism Malaysia dengan Vietjet Air seharusnya melangkaui urusan perniagaan, dengan menyeru kepada kerjasama serantau yang lebih mendalam dan promosi pembangunan pelancongan dan budaya yang lebih inklusif dan mampan.

"Akhir sekali, saya ingin mengundang anda semua bukan hanya untuk melawat Malaysia, tetapi juga mempertimbangkan menjadikan Malaysia rumah kedua anda. Sama ada untuk pelaburan, pendidikan atau kualiti kehidupan yang lebih baik, Malaysia menyambut anda dengan tangan terbuka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan