AM

Legoland Malaysia Ketengah Elemen, Sentuhan Budaya Tempatan Menjelang TMJ 2026

02/08/2025 01:46 PM

ISKANDAR PUTERI, 2 Ogos (Bernama) -- Legoland Malaysia Resort menyatakan komitmen untuk terus mengetengahkan elemen dan sentuhan budaya tempatan dengan keunikan tersendiri dalam usaha menyokong kempen Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026.

Naib Presiden Legoland Malaysia Resort CS Lim berkata pihaknya sentiasa memberikan keutamaan dalam mengangkat budaya tempatan menerusi pelbagai sambutan dan juga perayaan di negara ini.

“Walaupun Legoland Malaysia merupakan taman tema bertaraf antarabangsa, kami sentiasa memberikan keutamaan kepada sambutan budaya dan perayaan tempatan, melalui dekorasi dan binaan bertemakan lego, persembahan budaya dan aktiviti yang menyerlahkan warisan Malaysia.

“Justeru, menjelang TMJ 2026 kami akan terus memperkaya sentuhan budaya ini menerusi kempen bermusim, acara khas dan kerjasama strategik untuk memastikan pengunjung menikmati pengalaman yang unik dan beridentitikan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Kerajaan Johor menyasarkan kedatangan 12 juta pengunjung dari dalam dan luar negara bersempena dengan TMJ 2026. 

Lim berkata pakej dengan itinerari yang menggabungkan Legoland Malaysia dengan lokasi lain seperti pulau Mersing, Desaru serta tarikan ekopelancongan dan warisan budaya turut ditawarkan untuk memberikan peluang kepada pengunjung meneroka destinasi menarik di Johor.

Beliau berkata ketika ini, taman tema berkenaan menarik kehadiran pengunjung yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan, tetapi juga dari Singapura, Indonesia dan negara serantau sekali gus menyumbang kepada limpahan ekonomi di kawasan sekitar Iskandar Puteri.

“Kehadiran kami menyokong operasi hotel, pusat beli-belah, pengangkutan dan premis makanan serta minuman di kawasan sekitar. Secara tidak langsung, situasi ini akan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

 Dalam pada itu, Lim berkata pihaknya telah mula melakukan persiapan menyeluruh bagi menyambut kedatangan pengunjung yang dijangka meningkat menjelang TMJ 2026 termasuk menambah baik kemudahan utama, meningkatkan kemahiran dan pengambilan pekerja tambahan serta merancang pengurusan kapasiti pengunjung termasuk kemungkinan memanjangkan waktu operasi.

Justeru, beliau berkata Johor berpotensi menjadi destinasi pilihan serantau berdasarkan kedudukannya yang strategik dengan pelbagai projek sedang dibangunkan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan kemudahan pengangkutan yang menyokong aliran masuk pelawat. 

“Johor mempunyai akses mudah kepada pelancong antarabangsa dan serantau tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada penerbangan domestik, sama ada melalui jalan darat, feri atau penerbangan dari Kuala Lumpur dan Changi, Singapura.

“Justeru, kami melihat Johor sebagai lokasi strategik dan bukan cabaran kerana kedudukanya yang berdekatan dengan Singapura (di Tambak Johor), iaitu antara hab perjalanan tersibuk di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan