AM

RMK13 Pencapaian Penting Rangka Pembangunan Jangka Sederhana - Lee

02/08/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen Khamis lepas, merupakan satu pencapaian penting dalam merangka hala tuju pembangunan jangka sederhana, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Ketika Malaysia melalui fasa penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, transformasi teknologi, perubahan iklim dan perubahan demografi, beliau berkata rancangan itu memberikan peluang untuk menumpukan semula keutamaan, membina daya tahan dan mengemudi negara ke arah pertumbuhan mampan dan menyeluruh.

"Secara umum, rancangan ini wajar dipuji atas hasratnya untuk menangani cabaran utama negara seperti ketidaksamaan pendapatan, transformasi digital, peralihan kepada ekonomi hijau dan reformasi institusi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata kejayaan rancangan ini bagaimanapun, akan bergantung bukan sahaja pada cita-cita, tetapi juga pada disiplin, ketelusan, dan pelaksanaan berkesan di semua peringkat kerajaan dan masyarakat.

Bagi memastikan RMK13 dilaksanakan dengan berkesan, beliau berkata beberapa aspek perlu menerima tindakan susulan berfokus, termasuk penubuhan mekanisme pemantauan yang mantap dan telus untuk menilai kemajuan terhadap sasaran utama.

"Laporan awam secara berkala dan audit prestasi juga akan membantu memastikan akauntabiliti dan pelarasan semula dilakukan apabila perlu," katanya.

Lee juga menekankan kepentingan koordinasi yang kukuh merentasi agensi Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan, dengan kementerian dan jabatan perlu bekerjasama secara sinergi untuk mengelakkan kelewatan atau ketidakcekapan.

Beliau berkata penglibatan dengan masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti setempat perlu diteruskan melangkaui peringkat perancangan, dan pelaksanaan haruslah inklusif dan sejajar dengan realiti semasa.

"Kejayaan rancangan ini juga bergantung pada pembiayaan mencukupi dan tanggungjawab fiskal. Perbelanjaan pembangunan mesti diutamakan berdasarkan impak, kesaksamaan dan kemampanan, dengan tumpuan kepada pengurangan ketirisan dan pembaziran," katanya.

Lee turut menekankan keperluan pembangunan kapasiti dalam perkhidmatan awam dan reformasi institusi, dan kerajaan perlu bersedia untuk menyesuaikan rancangan itu mengikut perubahan semasa, termasuk kejutan global atau perubahan di dalam negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan