SUKAN

RTG Gembira Dengan Penyertaan Sze Fei-Nur Izzuddin - Stuart

20/06/2025 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Program Road To Gold (RTG) berasa gembira kerana mempunyai empat pemain badminton profesional di bawah projek itu, kata Penyelarasnya Datuk Stuart Ramalingam.

Walaupun rundingan mengambil masa yang agak lama, Stuart berkata beregu lelaki nombor satu dunia Goh Sze Fei‑Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat‑Shevon Lai Jemie berpuas hati dengan khidmat yang RTG tawarkan untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Saya rasa ini petanda positif bahawa program berkenaan diterima dengan baik oleh semua pihak. Fokus program ini untuk memberi sokongan prestasi dan saya percaya itulah yang akan diterima oleh atlet, termasuk dalam kitaran RTG sebelum ini.

“Ramai jurulatih dan atlet yang saya temui tidak mempunyai rungutan mengenai sistem sokongan RTG. Ia terpulang kepada atlet pada akhirnya, kami hanya menyediakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada program ‘Spotlight - Gangguan Seksual dalam Sukan’ di sini hari ini.

Stuart berkata dengan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang masih lama lagi, atlet boleh menggunakan masa sepenuhnya dengan khidmat RTG.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Duta Belgium ke Malaysia Peter Van Acker.

Semalam, Hannah mengumumkan bahawa Sze Fei‑Nur Izzuddin dan Soon Huat‑Shevon mengikat komitmen mereka kepada RTG untuk kitaran 2025.

Minggu lepas, lapan pemain badminton termasuk beregu nombor dua dunia lelaki Aaron Chia‑Soh Wooi Yik dan rakan sepasukan Man Wei Chong‑Tee Kai Wun, beregu wanita negara Pearly Tan‑M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie‑Toh Ee Wei diumumkan menyertai RTG.

Atlet lain yang turut menyertai program ini antaranya jaguh angkat berat Mohd Aniq Kasdan, pelumba trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta pemain skuasy S. Sivasangari.

Trio memanah wanita recurve negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Fazil dan pemain skuasy Ng Eain Yow turut menyertai program Fast Track RTG.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan