Daripada Anas Abu Hassan
TOKYO, 30 Mei (Bernama) -- Beberapa negara rantau Asia-Pasifik menyatakan minat untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta pembangunan rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pertemuan dua hala bersama wakil beberapa negara rantau berkenaan sempena Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025 di sini, turut membincangkan mengenai usaha menangani masalah penipuan (scam) serta jenayah dalam talian.
"Saya melihat banyak peluang untuk Malaysia menjalin kerjasama lebih erat dengan negara-negara serantau, termasuk dalam kalangan Asia-Pasifik, bagi kita mengadaptasi strategi terbaik yang telah mereka laksanakan.
"Pada masa sama, mereka juga boleh mempelajari daripada pengalaman Malaysia, khususnya dalam menambah baik infrastruktur menerusi program JENDELA dan pelaksanaan 5G," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi mengadakan perbincangan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Republik Fiji Manoa Seru Nakausabaria Kamikamica serta Menteri Penerangan dan Teknologi Komunikasi Iran Dr Seyed Sattar Hashemi.
Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke APT-MM 2025 yang berlangsung dari 30 hingga 31 Mei, antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.
Menurut Fahmi, Malaysia mengiktiraf peranan penting Fiji membangunkan infrastruktur digital dalam kalangan negara Kepulauan Pasifik, dan menyambut baik peluang untuk memperkukuh kerjasama dua hala.
"Inisiatif transformasi digital Fiji juga amat progresif, termasuk pelaksanaan pendaftaran kelahiran secara dalam talian, penambahbaikan proses perniagaan, dan inovasi seperti M-PAiSA Mastercard.
"Malaysia turut menghargai sumbangan aktif Republik Islam Iran dalam APT, dan kedua-dua negara komited meneroka kerjasama lebih erat dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi," katanya.
Bertemakan “Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific”, APT-MM 2025 menghimpunkan 31 negara anggota serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pihak pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial