AM

Malaysia Komited Sokong 'Tokyo Statement 2025' Di APT-MM 2025  - Fahmi

30/05/2025 02:51 PM

Oleh Anas Abu Hassan

TOKYO, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia menyatakan komitmen penuh untuk menyokong aspirasi "Tokyo Statement 2025" yang bakal dilancarkan pada Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025 yang berlangsung di sini bermula 30 hingga 31 Mei 2025, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata aspirasi itu memberi penekanan kepada usaha membina infrastruktur digital yang berdaya tahan, inklusif dan mampan bagi memajukan rantau Asia Pasifik yang saling terhubung, serta memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Fokusnya bukan sekadar pada pelaksanaan infrastruktur, tetapi juga aspek kemampanan dan hasrat kita untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan teknologi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri APT 2025, yang antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat.

Mesyuarat itu juga bakal menyaksikan pelancaran 'Tokyo Statement 2025' yang memberi penekanan terhadap enam keutamaan, iaitu keterhubungan digital, inovasi digital dan keusahawanan, kepercayaan dan keselamatan, keterangkuman digital dan pembangunan kapasiti, kelestarian alam serta kerjasama serantau dan antarabangsa.

Fahmi berkata Kerajaan MADANI juga akan berkongsi pendekatan menyeluruh dan proaktif Malaysia dalam membina persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai.

Langkah itu merangkumi penekanan terhadap keperluan perundangan keselamatan siber yang kukuh, kempen keselamatan dalam talian, serta rangka kerja kawal selia bagi memastikan akauntabiliti penyedia platform dalam talian, katanya.

"Mesyuarat ini merupakan platform penting untuk merangka dasar serta strategi bersama ke arah pembangunan digital yang inklusif, mampan dan selamat di rantau Asia Pasifik.

"Pada masa sama, ia menjadi pentas kerjasama pelbagai hala di rantau yang sedang pesat membangun dari segi teknologi, serta menyokong negara-negara membangun dalam aspek teknikal, kapasiti dan kawal selia ICT," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) pada 29 Mei 2025, yang turut disertai wakil Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

APT merupakan sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1979 melalui kerjasama antara Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP)  dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU)

Bertemakan “Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific”, APT-MM 2025 menghimpunkan 31 negara anggota serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pihak pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan