KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Khabar duka pemergian wartawan veteran Fauziah Rauf bukan hanya kehilangan besar kepada industri media tempatan tetapi juga kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Nur-ul Afida yang mesra memanggil Fauziah sebagai ‘aunty Fauziah’ menyifatkan Allahyarham sebagai guru dan pembimbing ketika bersama dalam Harian Nasional, iaitu akhbar kompak berbahasa Melayu pertama di negara ini.
“Saya secara peribadi mempunyai kenangan dengan aunty Fauziah. Saya panggil aunty Fauziah kerana saya memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan di Harian Nasional dengan beliau adalah antara pengarang di akhbar berkenaan.
“Saya ditempatkan di meja wanita yang diketuai beliau dan di situlah saya memulakan kerjaya sebagai wartawan di bawah bimbingan beliau," katanya semasa mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada keluarga Fauziah di Masjid Selayang Baru, di sini hari ini.
Beliau berkata berkata Allahyarham juga adalah kenalan lama kepada arwah bapanya, Kamaludin Abdul Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pengarang Harian Nasional.
Nur-ul Afida juga menghargai jasa Fauziah yang banyak membimbing beliau dan abangnya Allahyarham Kamal Huzaini atau Huz, ketika berkhidmat sebagai wartawan hiburan.
“Allahyarham seorang yang berterus terang. Kita belajar daripada orang lama...mereka mengajar dengan ikhlas. Kita tahu dan itulah yang kita kutip dan belajar hingga sekarang,” katanya.
Fauziah, 81, yang juga antara pengarang wanita terawal meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira 1 pagi tadi akibat pendarahan di kepala.
Selain berpengalaman lebih 20 tahun sebagai wartawan di Utusan Malaysia, Allahyarham turut menjadi perintis dan wanita pertama di negara ini yang menerbitkan akhbar seperti Mingguan Famili, Pentas Dunia dan majalah Hawa sekitar 80-an.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial