Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
PETALING JAYA, 2 Jun (Bernama) -- Mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights di sini berharap bantuan sementara seperti bayaran sewa rumah, kereta dan motosikal yang diterima daripada pelbagai pihak sebelum ini dapat dilanjutkan selepas sebahagian daripadanya tamat tempoh baru-baru ini.
Setelah dua bulan berlalu sejak insiden pada 1 April itu, sebahagian mangsa kini berdepan cabaran untuk meneruskan kehidupan apabila terpaksa memulangkan bantuan berkenaan.
Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas, Mohamad Nasir Ab Hamid, 69, berkata keluarganya kini tinggal di sebuah rumah kecil berhampiran kediaman asalnya dengan bantuan bayaran sewa selama tiga bulan.
“Rumah saya rosak sepenuhnya (total lost) dengan nilai kos baik pulih sebanyak RM150,000 namun sehingga kini kerja-kerja pembaikan belum dimulakan lagi oleh pihak kontraktor,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu hari ini.
Mohamad Nasir berkata kenderaan sementara yang diterimanya selepas insiden itu juga sudah dipulangkan pada bulan lepas apabila tempoh pinjaman berakhir.
"Untuk urusan harian jika saya perlu guna kereta, saya ada sebuah kereta Kancil yang saya dah baik pulih sikit-sikit. Kami pun bukan nak bergaya sangat, asalkan ada kereta yang boleh dibawa untuk keperluan urusan harian," kata bapa kepada sembilan anak itu.
Mengenai proses baik pulih rumah, Mohamad Nasir berkata buat masa ini keluarganya cuba meneruskan kehidupan seperti biasa dan memahami ia memerlukan tempoh yang lama memandangkan banyak rumah yang turut musnah dalam kejadian itu.
"Bila kontraktor mula baik pulih rumah ini, saya nak tengok dahulu macam mana mereka nak buat dan keadaannya nanti bagaimana sebab belum diberitahu lagi bagaimana proses itu akan berjalan,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Aliyah Ismail, 55, berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang diberikan namun berharap agar pampasan tunai turut diberikan untuk meneruskan kelangsungan hidup terutamanya bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Aliyah berkata sehingga kini, selain menerima kupon pembelian barangan elektronik dan bantuan lain, keluarganya hanya dimaklumkan mengenai bantuan membaik pulih kediaman sahaja.
"Sekarang ini kami belum dengar lagi mengenai sebarang pampasan, hanya sebut pasal baik pulih rumah sahaja. Patut beri pampasan. Kami tiada duit, pendapatan pun tiada. Sewa rumah pun mahal.
"Barang pun mahal, saya nak mulakan perniagaan katering semula pun perlu beli banyak barang dan peralatan sebab semuanya dah musnah dalam kebakaran," katanya.
Kebakaran saluran paip gas pada 1 April lepas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial