AM

Intergrasi Sistem eBantuanJKM Tingkat Kecekapan Bantuan Sosial - Nancy Shukri

13/06/2025 04:06 PM

KUCHING, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan Sarawak berjaya mengintegrasikan platform berkaitan bantuan kebajikan mereka menerusi sistem eBantuanJKM.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha itu bertujuan menghapuskan penyelewengan dan meningkatkan kecekapan penyampaian bantuan kebajikan.

“Sistem itu telah wujud sejak 15 tahun lepas, namun hanya mula dilaksanakan di Sarawak baru-baru ini. Sebelum ini, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak masing-masing menggunakan sistem sendiri dan ini menyukarkan banyak perkara.

“Kalau anda ikuti berita, memang ada pihak yang mengambil kesempatan mengeksploitasi kelemahan dalam sistem,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penggunaan Sistem eBantuanJKM di sini hari ini.

Beliau berkata setakat Mei tahun ini, sebanyak 55,457 penerima di Sarawak telah menerima bantuan berjumlah RM123.78 juta di bawah sistem bersepadu itu.

Terdahulu, Nancy ketika berucap pada majlis itu berkata JKM kini sedang membangunkan sistem baharu yang dinamakan Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan 2.0 (SPBK 2.0) yang akan menggantikan eBantuanJKM menjelang akhir tahun 2026.

“Sistem sedia ada telah berkhidmat lebih 15 tahun, namun kini berdepan kekangan teknologi. Maka, SPBK 2.0 ini hadir sebagai solusi berimpak tinggi, selaras dengan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan