RAUB, 11 Ogos (Bernama) -- Hasrat kerajaan Pahang menjadikan negeri itu sebagai gedung makanan negara direalisasikan menerusi kejayaan AGK Dairy Fresh Sdn Bhd, yang kini memiliki lebih 300 ekor lembu wagyu.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pencapaian itu menjadikan Pahang sebagai negeri dengan ternakan lembu wagyu terbanyak di Malaysia.
“Sekarang ini ada 300 ekor. Insya-Allah dalam tempoh dua tahun jumlah itu boleh mencecah 1,000 ekor dan kerajaan negeri akan memberikan sokongan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ladang Ternakan Ruminan AGK Dairy Fresh di Bukit Kajang di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus membantu memperkasa projek ternakan wagyu itu, termasuk diperluaskan ke kawasan Pahang Barat.
“Kami cuba menternak lembu wagyu dan ia sesuai dengan keadaan cuaca di kawasan ini. Kami mulakan di sini dan di Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis. Saya telah minta Pejabat Tanah dan Galian mengkaji beberapa kawasan di Benta dan sebagainya,” katanya.
Wan Rosdy berkata syarikat itu turut menghasilkan produk seperti susu segar dan keju bagi menambah keuntungan.
Beliau juga menggalakkan syarikat berkenaan mempercepatkan perancangan menjadikan ladang ternakan itu sebagai pusat agropelancongan bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Sudah pasti orang akan teruja sekiranya dapat sampai ke sini. Melihat kepada gambar tadi, orang mungkin tidak menyangka ia berada di Malaysia atau Pahang, sebaliknya menganggap ia di Australia atau negara lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial