SARATOK (Sarawak), 11 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal warga Myanmar yang terjatuh ke Sungai Krian pada Jumaat lepas berakhir hari ini, selepas jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di Lubuk Petan, Kampung Kupang, di sini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mayat mangsa Thu Htoo Aung, 20, ditemukan oleh penduduk kampung itu.
“Pada 12.23 tengah hari ini, pasukan operasi diketuai PBKI Nasir Drahman menerima maklumat daripada penduduk kampung yang menemukan jasad terapung di sungai Lubuk Petan,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi pada jam 12.35 tengah hari dan membawa jasad ke jeti berhampiran untuk pengecaman.
“Pihak polis mengesahkan jasad tersebut ialah mangsa yang dicari. Keadaan ketika ditemukan hanya separuh badan dari pusat ke kaki, dipercayai akibat gigitan haiwan air,” katanya lagi.
Operasi yang melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok bersama aset logistik sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot penyelamat itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 tengah hari.
Mangsa yang memakai seluar panjang berwarna coklat dan kasut getah pendek dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dari kapal Moi Soon 2 yang berlabuh di Wharf Batu Pekan, Saratok pada 8 Ogos kira-kira jam 9.30 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial