AM

Kadar Pengangguran Jun Kekal 3.0 Peratus, Bilangan Penganggur Menurun Kepada 518,700 - DOSM

11/08/2025 02:31 PM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Kadar pengangguran pada Jun kekal 3.0 peratus dengan bilangan penganggur menurun kepada 518,700 orang, menurut Statistik Tenaga Buruh bagi Jun dan Suku Kedua 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh negara terus mempamerkan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan pada Jun 2025 berikutan perkembangan positif ekonomi negara.

“Ini dicerminkan oleh peningkatan guna tenaga yang stabil dan penurunan berterusan dalam pengangguran. Justeru, tenaga buruh terus menunjukkan trend peningkatan pada Jun 2025, meningkat sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.43 juta orang (Mei 2025: 17.38 juta orang).

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Jun 2025 kekal 70.8 peratus, konsisten dengan kadar yang direkodkan pada Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi suku kedua 2025, Mohd Uzir berkata tenaga buruh merekodkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada 17.37 juta orang pada suku kedua 2025 (S1 2025: 17.23 juta orang).

KPTB meningkat sedikit, iaitu 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus berbanding 70.7 peratus pada suku sebelumnya.

“Selaras dengan trend ini, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada 16.85 juta orang (S1 2025: 16.70 juta orang). Sementara itu, bilangan penganggur menunjukkan penurunan sebanyak 1.0 peratus kepada 520,900 orang (S1 2025: 526,300 orang).

“Kadar pengangguran pada suku kedua 2025 berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus berbanding suku tahun sebelumnya (S1 2025: 3.1 peratus).

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia diilihat akan berada dalam kedudukan yang stabil pada bulan-bulan yang akan datang berikutan permintaan domestik yang meningkat, produktiviti buruh lebih tinggi, peluang pekerjaan bertambah dan pelaburan berkembang luas, khususnya dalam sektor berteknologi dan pelaburan strategik.

“Walaupun terdapat cabaran seperti migrasi bakat, ketegangan perdagangan global dan inflasi, dasar kerajaan dan dasar ekonomi yang memfokuskan kepada digitalisasi, latihan teknikal, dan insentif pelaburan dijangka menyokong kesinambungan pertumbuhan jangka sederhana dan panjang dalam pasaran buruh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan