KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Empat sesi perbincangan strategik melibatkan pihak berkepentingan telah dianjurkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital sebagai langkah penting dalam membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 (2026-2030).
Pejabat Menteri Kementerian Digital memaklumkan siri perbincangan yang memberi tumpuan kepada Keselamatan dan Sekuriti AI, Dasar dan Peraturan, Bakat serta Penglibatan Industri dan Advisori itu mencerminkan komitmen Malaysia membina ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang diyakini, inklusif dan berasaskan inovasi.
“Setiap sesi melibatkan wakil sektor awam dan swasta, akademia, pengawal selia, serta kumpulan industri bagi merangka semula arah dasar dan mengesahkan teras utama pelan sebelum pelancaran rasminya.
“Sesi Keselamatan dan Sekuriti AI yang dipengerusikan Menteri Digital Gobind Singh Deo membincangkan ancaman seperti ‘deepfake’, serangan siber, algoritma berat sebelah, pelanggaran privasi data dan penyalahgunaan generatif,” menurut Pejabat Menteri Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, NAIO turut membentangkan komponen keselamatan termasuk rangka kawal selia asas, garis panduan sukarela, model klasifikasi risiko bertingkat serta fungsi pemantauan risiko dan tindak balas insiden bagi memantau dan menguruskan kemudaratan berkaitan AI.
Menurut kenyataan itu, dalam sesi Dasar dan Peraturan, pihak berkepentingan telah membincangkan model tadbir urus hibrid bertingkat yang menggabungkan pendekatan undang-undang mengikat, instrumen pasaran seperti pelesenan dan penilaian pematuhan serta piawaian dan pekeliling tidak mengikat.
“Sesi perbincangan Bakat AI pula menekankan usaha memperkukuh rantaian bakat AI negara dari peringkat pendidikan awal hingga peningkatan kemahiran tenaga kerja, termasuk penyepaduan kemahiran AI dalam kurikulum pendidikan rendah dan menengah, laluan bakat bukan tradisional dan vokasional, penyelaraskan kurikulum universiti dengan keperluan industri, program peningkatan kemahiran pendidik dan biasiswa AI, serta inisiatif menarik bakat Malaysia di luar negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Sesi Industri dan Advisori pula menghimpunkan pemimpin Konsortium AI Nasional (KAIN) dan kumpulan kerja bagi menyelaraskan strategi AI negara dengan keperluan industri, mempercepat penggunaan AI oleh sektor korporat, meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) infrastruktur serta memperkukuh hubungan bakat–industri.
“Hasil semua sesi ini akan dimasukkan dalam perincian akhir pelan tindakan berkenaan untuk memastikan ia berasaskan wawasan bersama dan kepakaran praktikal,” menurut Pejabat Menteri Kementerian Digital
Dalam pada itu, Ketua NAIO Sam Majid dalam kenyataan sama berkata siri perbincangan itu menunjukkan kerajaan, industri dan masyarakat dapat mencipta penyelesaian yang berani, seimbang serta berpandangan jauh demi masa depan AI yang selamat, insklusif dan berlandaskan keperluan rakyat serta industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial