AM

Mohd Fuad Bee Basrah Dilantik Pengarah SPRM Sabah Berkuat Kuasa 15 Ogos

06/08/2025 06:55 PM

KOTA KINABALU, 6 Ogos (Bernama) -- Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah dilantik sebagai Pengarah SPRM Sabah berkuat kuasa pada 15 Ogos ini.

Menurut kenyataan SPRM di sini hari ini, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk S Karunanithy yang akan mengambil alih tugas sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang yang baharu.

Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah hari ini.

Ahmad Khusairi berkata tanggungjawab SPRM bukan sahaja memerangi rasuah tetapi membantu kerajaan dalam mengekang ketirisan daripada berlaku dalam tempoh jangka panjang, khususnya usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah memberi pelbagai impak kepada semua pihak.

“Hala tuju negeri ini bukan hanya mencegah rasuah tetapi kita juga harus berfikir bagaimana membantu kerajaan negeri mengekang ketirisan supaya impak kepada usaha ini dilihat berpanjangan,” katanya dalam kenyataan itu.

Ahmad Khusairi berkata pelantikan Mohd Fuad yang juga anak kelahiran Sabah dilihat akan terus mengorak langkah memacu agenda pencegahan rasuah dengan lebih agresif dan berstrategi.

Beliau berkata Karunanithy selaku Pengarah SPRM Sabah sebelum ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap SPRM malah berjaya memimpin beberapa operasi besar yang membuktikan komitmen dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Karunanithy berkata kejayaan SPRM Sabah dalam sektor operasi dan pencegahan sepanjang berkhidmat ialah hasil jalinan kerjasama strategik antara semua pihak termasuk daripada jabatan Persekutuan dan negeri serta rakan media.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah terutamanya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerana sentiasa menyambut baik segala inisiatif dan cadangan tidak kira operasi, pencegahan serta penambahbaikan tatakelola yang dikemukakan sepanjang menjawat jawatan Pengarah SPRM Sabah.

“Saya telah menerajui SPRM Sabah selama lima tahun 11 bulan bermula 17 Sept 2019 sehingga menerima mandat baharu sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang pada 15 Ogos ini,” katanya sambil  menyeru warga SPRM Sabah supaya sentiasa bekerjasama dan mengekalkan budaya kerja berintegriti serta profesionalisme.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan