AM

Sathiya, Dino Terharu Terima Sumbangan, Hargai Kepedulian Kementerian Komunikasi Dan FINAS

04/08/2025 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Dua artis veteran tanah air, Mohd Shah Rosli atau Dino dan Sathia Periasamy atau lebih mesra dikenali Sathiya melahirkan rasa terharu atas keprihatinan Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyantuni mereka menerusi program Ziarah Seni MADANI FINAS, hari ini.

Dino, 50, yang juga anggota kumpulan Nico G kini berehat di kediamannya di Kampung Baru, di sini selepas diserang angin ahmar (strok) tiga minggu lepas sehingga tidak mampu lagi bekerja atau membuat persembahan.

“Doktor sahkan saya mengalami strok ringan. Walaupun saya sudah dibenarkan pulang, tangan dan kaki kanan saya masih belum boleh digerakkan, nak bercakap pun susah.

“Dulu, saya aktif buat persembahan dan bekerja di kedai pakaian, tetapi sekarang semua terhenti menyebabkan sumber pendapatan saya terjejas. Jadi, bantuan hari ini sangat bermakna. Kalau tiada kawan-kawan dan pihak kementerian, siapalah saya,” katanya.

Kumpulan Nico G yang popular dengan lagu seperti Inilah Nasibku dan Untukmu Sayang ditubuhkan pada 1992 dan dianggotai oleh Dino, Affa, serta Allahyarham Nico atau Abdul Fashah Abdul Aziz yang meninggal dunia pada April lepas.

Pada program Ziarah Seni MADANI FINAS, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban terhadap masalah kesihatan dan kewangan yang dialami.

Turut hadir Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS Rozaidi Abd Jamil.

Sementara itu, pelakon dan pelawak veteran Sathiya, 61, turut menyatakan penghargaan atas sumbangan dan kunjungan FINAS terhadap beliau yang sedang dirawat akibat jangkitan kuman di kaki kirinya di Hospital Ampang.

“Saya baik-baik sahaja. Petang ini dijangka keluar hospital dan saya mahu sambung kerja … masih ada penggambaran. Syukurlah inisiatif ini dapat ringankan beban,” katanya.

Sathiya yang cukup sinonim dengan watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu menjalani pembedahan memotong tiga bahagian di kaki kirinya termasuk ibu jari baru-baru ini, dan pernah mengalami serangan angin ahmar sebanyak tiga kali sejak Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan