AM

Pembukaan Hospital Pasir Gudang Di Tunda Tahun Depan - Exco Johor

04/08/2025 05:22 PM

JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Pembukaan Hospital Pasir Gudang (HPG) di sini yang sepatutnya beroperasi 1 Ogos lepas secara berperingkat ditangguhkan ke tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata ia berikutan berlaku beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas kesihatan, khususnya doktor serta jururawat.

Beliau berkata keputusan ini turut dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri bagi mengelak sebarang masalah yang akan timbul akibat kekurangan petugas. 

“Kekurangan petugas kesihatan merupakan antara isu utama yang sedang kami hadapi. Jika hospital ini beroperasi tanpa tenaga kerja mencukupi, kami bimbang akan ada pelbagai isu dan masalah pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, HPG tidak akan dibiarkan tidak berfungsi sebaliknya menjadi fasiliti sokongan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang merupakan dua hospital tersibuk di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan KKM bagi memastikan HPG dapat memulakan operasi dengan jumlah petugas mencukupi.

Jun lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata HPG akan memulakan operasi fasa pertamanya pada 1 Ogos melibatkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan operasi hospital berkenaan.

Beliau berkata bagi fasa awal itu, ia akan melibatkan 30 peratus bidang perkhidmatan mustahak seperti Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi serta Jabatan Pediatrik.

"Setakat ini, 274 perjawatan sudah disi dan kita mengharapkan hospital ini dapat beroperasi secara penuh melibatkan 1,845 petugas pada Julai 2026," katanya.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan