AM

Felda Johor ‘Menang Besar’ Pada AKRF 2024

04/08/2025 01:29 PM

JOHOR BAHRU, 4 Ogos -- Kejayaan cemerlang warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Johor yang merangkul 11 anugerah dalam Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) 2024 menjadi manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa komuniti luar bandar, khususnya peneroka.

Pencapaian membanggakan itu diraikan sempena Majlis Apresiasi Warga Peneroka sempena Hari Peneroka Felda dan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antrabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur baru-baru ini, yang menyaksikan Felda Bukit Easter di Kota Tinggi dinobatkan sebagai johan keseluruhan AKRF 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata kejayaan itu juga adalah hasil kerja keras dan semangat jitu warga Felda Johor dalam memacu kecemerlangan melalui pelbagai bidang termasuk inovasi, keusahawanan, pembangunan komuniti dan kelestarian ladang. 

“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa komuniti Felda Johor bukan sahaja relevan, malah mampu menjadi contoh terbaik kepada negeri lain dalam aspek pembangunan luar bandar,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau. 

Selain anugerah utama, Felda Bukit Easter turut meraih beberapa lagi pencapaian seperti Anugerah Prestasi Sawit Terbaik, Anugerah Inovasi dan Keceriaan dan Anugerah Sumbangan Wakaf Tertinggi.

Sementara itu, Anugerah Khas Masjid dan Kerohanian dimenangi  Felda Adela, Anugerah Belia dan Komuniti (Felda Lok Heng Timur), Anugerah Ladang Sawit Lestari (Felda Bukit Tenggaroh 7) dan Anugerah Usahawan Felda (Kategori Luar Rancangan) dimenangi Mohd Asyraf Nor Akmal dari Felda Pasak.

Anugerah lain turut diterima seperti Anugerah Usahawan Felda (Kategori Perniagaan) dimenangi Mak ET dari Felda Sri Ledang, Anugerah Tokoh Jawatankuasa Permuafakatan, Produktiviti dan Kualiti  (JPPK) diterima Sa’adan Sairi yang juga Ketua Peneroka Felda Lok Heng Timur selain Naib Johan Game Ai Pick & Place Robot oleh Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Besar.

Zahari turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai insentif RM100,000 kepada setiap Rancangan Felda, termasuk 73 rancangan di Johor, bagi memperkukuh aktiviti ekonomi komuniti setempat.

“Dana ini merupakan pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan mampan dan peningkatan pendapatan peneroka. Kita akan terus pastikan inisiatif ini dimanfaatkan sepenuhnya di peringkat akar umbi,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan