KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial tidak lagi bersifat pilihan, tetapi kini menjadi keperluan strategik dalam memacu masa depan perpaduan negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata mahasiswa perlu tampil sebagai penjaga nilai perpaduan yang sentiasa tegas menolak retorik kebencian dan fahaman sempit.
“Dalam ruang kampus, mereka harus menyemai nilai faham, hormat dan terima iaitu nilai teras yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk.
“Mahasiswa juga hendaklah menjadi penghubung silang komuniti, merentas batas kaum, agama dan wilayah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara (SRN) Tahun 2025 di sini hari ini.
Aaron berkata dalam era dinamik, serba pantas dan penuh ketidaktentuan, cabaran kepada perpaduan hari ini jauh lebih kompleks daripada dihadapi generasi terdahulu.
“Pertama kita berhadapan dengan fenomena polarisasi sosial, iaitu apabila masyarakat termasuk anak muda hidup dalam gelembung sosial masing-masing. Algoritma media sosial memperkukuh persepsi serta pandangan sedia ada dan melemahkan ruang dialog silang budaya.
“Akibatnya, jurang persefahaman antara kaum, agama dan lapisan sosial masyarakat semakin melebar, sekali gus menjejaskan usaha ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata cabaran lain ialah ancaman ekstremisme dan fahaman sempit yang menyusup melalui saluran digital, memanipulasi sentimen identiti untuk menyemai kebencian, menolak kepelbagaian serta menggugat keharmonian.
Selain itu, Aaron berkata wujud kehilangan orientasi kenegaraan, iaitu sebahagian generasi kini merasakan Rukun Negara hanya retorik silam dan bukan prinsip hidup.
“Hasilnya beberapa statistik menunjukkan bahawa belia antara golongan paling terkesan dengan isu diskriminasi dan perkauman.
“Menurut State of Discrimination Survey 2023 oleh Architects of Diversity Malaysia, 43 peratus belia Generasi Z berusia 18 hingga 24 tahun mengakui pernah mengalami diskriminasi berasaskan etnik, warna kulit atau dialek, menjadikan mereka kumpulan paling terdedah berbanding umur lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial