AM

50,000 Dijangka Hadiri Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau

31/07/2025 08:25 PM

TAWAU, 31 Julai (Bernama) -- Seramai 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata festival berkenaan menyaksikan penyertaan 30 etnik tempatan serta peserta dari Indonesia, Filipina dan Kazakhstan.

Katanya sejak mula dianjurkan pada 2011, FKAT bukan sekadar medan meraikan warisan budaya pelbagai kaum di Tawau, malah berperanan memupuk perpaduan masyarakat dan mengukuhkan hubungan serantau.

"FKAT turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, selain memperkukuh jenama Tawau sebagai destinasi pelancongan berteraskan kebudayaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan FKAT tahun ini menampilkan tema 'Kepelbagaian Budaya di Tawau’ dengan fokus kepada unsur kepahlawanan, perkahwinan tradisional, makanan serta kraftangan.

Sementara itu, Nizam menggesa MPT selaku penganjur utama supaya menghantar permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjadikan FKAT sebagai antara acara utama dalam kalendar pelancongan negara.

“Kita mahu FKAT diangkat sebagai produk pelancongan bertaraf nasional. MPT perlu segera menulis surat kepada MOTAC supaya festival ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara, “katanya.

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan perancangan negara sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan